'Jangan terjebak spekulasi pelantikan Menteri Besar Selangor'
SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta semua pihak tidak terjebak dengan permainan spekulasi pelantikan Menteri Besar Selangor.
Ahli jawatankuasanya yang juga bekas Exco kerajaan Selangor Hee Loy Sian berkata, spekulasi pelantikan Menteri Besar Selangor itu juga tidak benar.
Menurutnya, beliau juga yakin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal baharu.
"Mengenai calon Menteri Besar Selangor itu hanya spekulasi, jangan percaya dan saya pasti Amirudin akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, seorang lagi ahli MPP, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, Amirudin merupakan Naib Presiden PKR dan pemimpin paling kanan dalam jawatan yang disandang beliau.
Menurutnya, ia menjadi satu kelebihan buat Amirudin malah prestasi pentadbiran dan pengurusan beliau sebagai Menteri Besar sebelum ini turut dianggap antara terbaik di seluruh negara.
"Betul ada kelemahan dari sudut sokongan dan kemerosotan sokongan dari pengundi pada pilihan raya negeri (PRN), namun ini bukan melambangkan kegagalan Amirudin," katanya.
Tambah Mohd Yahya, sebaliknya ia berlaku di peringkat nasional kerana belum ada keserasian dalam kalangan penyokong PH dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri masing-masing.
Sementara itu, Ketua Biro Undang-Undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Naim Rafidi berpandangan, Amirudin perlu dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.
"Datuk Seri Amirudin Shari perlu dikekalkan sebagai Menteri besar kerana melihat kepada prestasi yang ditunjukkan kerajaan Selangor sebelum ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan spekulasi Amirudin tidak akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua selepas PH gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN baru-baru ini.
Ini selepas seorang pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan dilaporkan berkata, walaupun Amirudin berjaya mempertahankan Sungai Tua dan menunjukkan prestasi yang baik sebagai Menteri Besar, beliau gagal mendapat sokongan pengundi Melayu.
PH memenangi 32 kerusi pada PRN di Selangor Sabtu lepas, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 22 kerusi dan BN, sekutu PH dalam kerajaan Persekutuan, hanya menang dua kerusi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Menteri Besar Selangor angkat sumpah selewatnya Isnin depan?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!