Bicara Cilik Rasuah Busters satukan hati lawan rasuah

Hadif Rayyan muncul salah seorang pemenang untuk kategori sekolah rendah bagi Program Bicara Cilik Rasuah Busters peringkat kebangsaan.
Hadif Rayyan muncul salah seorang pemenang untuk kategori sekolah rendah bagi Program Bicara Cilik Rasuah Busters peringkat kebangsaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Bicara Cilik Rasuah Busters yang menutup tirai pada Jun lalu, berjaya menyatukan hati semua pihak bagi memerangi perbuatan jijik rasuah.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuda, Klang, Selangor, Norfazilah Baharum berkata, penyertaan hampir 30 buah sekolah dari seluruh Malaysia itu menggambarkan kesatuan dalam menyemarakkan kebencian terhadap rasuah dalam kalangan murid dan pelajar.

Katanya, ia sekali gus menjadi ejen penentang rasuah yang turut mengajak masyarakat untuk bersama melawan rasuah.

Norfazilah
Norfazilah

"Program ini adalah bukti nyata betapa kita semua telah bersatu hati menentang rasuah dan mewujudkan sebuah masyarakat yang bermaruah.

"Dalam dunia yang semakin kompleks dan berubah dengan laju ini, rasuah telah menjadi batu sandungan utama yang menghalang keadilan, integriti dan perkembangan lanjut.

"Namun, hari ini kita berkumpul sebagai komuniti yang berani untuk memberontak dan menjadikan rasuah sebagai musuh bersama," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Terdahulu, peserta dari sekolah itu iaitu Hadif Rayyan Hazri menjadi salah seorang pemenang untuk kategori sekolah rendah.

Artikel Berkaitan:

Selain Hadif Rayyan, sembilan yang lain telah dinobatkan sebagai pembentang terbaik Program Bicara Cilik Rasuah Busters Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.

Mereka ialah Nur Haziqah Azhar Hisyam dari SK Matang Gerdu, Bagan Serai, Perak; Nurul Adriana Safura Mohammad Zairi dari SK Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan; Ahmad Muaz Azurahisham dari SK Tanah Puteh, Pahang dan Khyra Dania Khairyna Mohd Hazwan dari SK Permatang Tok Dik, Padang Serai, Kedah.

Sementara itu, lima pelajar iaitu Nurul Najwa Ahmad Jalani dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran, Pahang; Muhammad Nor Hafizie Amir (SMK (Felda) Seri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan); Nur Juita Batrisyia Mohd Faisal (SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang); Nurul Yasmin Irdina Maslizi (Sekolah Menengah Agama Marang, Terengganu) dan Muhammad Ariq Erinoor Enche Guri (SMK Kampung Nangka, Sibu, Sarawak) pula mengungguli kategori sekolah menengah.

Program yang dijalankan secara dalam talian itu disiarkan di saluran YouTube SKKB Ts25 (TV SK Kg Baharu Sekolah Transformasi 2020-2025) dan Facebook Rasuah Busters serta Sinar Bestari.

Tambah Norfazilah, kejayaan program berkenaan merupakan langkah awal dalam mewujudkan suasana yang lebih baik ke arah menyemai mesej antirasuah dalam kalangan murid, pelajar dan juga masyarakat.

"Kejayaan kita hari ini adalah langkah pertama menuju masyarakat yang lebih adil dan bermaruah.

"Namun, perjalanan ini masih jauh dan mencabar. Kita perlu terus berusaha untuk mengukuhkan integriti dan mengajar generasi akan datang mengenai kepentingan nilai-nilai yang benar untuk menjadikan dunia yang lebih baik, bebas daripada rasuah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!