Exco Negeri Sembilan: BN senaraikan nama orang lama, baharu

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

SEREMBAN - Senarai nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) kerajaan negeri daripada Barisan Naisonal (BN) yang akan diserahkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah gabungan muka lama dan baharu.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, komposisi dan kedudukan Exco ini mestilah dalam kalangan orang yang berpengalaman dan juga orang baharu termasuk wakil orang muda serta wanita.

"Kita nak daripada pelbagai lapisan, pengalaman, kepakaran dan peringkat umur untuk memastikan pembangunan, pengurusan dan urus tadbir Negeri Sembilan dapat diuruskan dengan lebih berkesan dan baik kerana ini harapan serta mandat rakyat.

"Bagaimana pun buat masa ini, saya belum dipanggil bagi mengadakan perbincangan berkaitan Exco ini dengan Menteri Besar dan (belum) mengemukakan nama calon dari Barisan Nasional (BN) untuk dilantik sebagai Exco," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pembahagian jawatan Exco dalam kalangan parti dalam Kerajaan Perpaduan, Jalaluddin berkata, BN berharap mendapat tidak kurang daripada enam kuota Exco berdasarkan kepada jumlah kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, apapun keputusan akhirnya selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar.

"Setakat ini tidak pasti lagi bila perbincangan itu akan diadakan, tiada tempoh ditetapkan bagi pelantikan Exco namun bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, saya fikir dalam minggu ini juga Exco akan dilantik," katanya.

Dalam PRN lalu BN menang 14 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah apabila menang di lima kerusi DUN.

Media sebelum ini melaporkan, Aminuddin berharap akan dapat memuktamadkan senarai anggota Exco negeri dalam minggu ini juga.

Menurutnya, perbincangan akan dilakukan bersama pimpinan negeri, termasuk dari BN sebelum dibawa kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!