Tempoh percubaan Melaka bebas kenderaan bermula Sabtu ini
AYER KEROH - Kerajaan negeri Melaka akan melaksanakan tempoh percubaan untuk merealisasikan kawasan bebas kenderaan di negeri itu setiap minggu bermula Sabtu ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, beberapa laluan utama pelancongan akan ditutup dalam tempoh enam jam bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.
Menurutnya, percubaan di bawah program 'Ride n Run' bagaimanapun tidak akan melibatkan sebarang pemindahan peniaga dan mereka boleh menjalankan aktiviti urusniaga seperti biasa.
"Sabtu ini telah bermula penutupan jalan sementara waktu, supaya kita nak lihat bagaimana sambutan rakyat, masyarakat dan pelancong apa masalah yang timbul untuk kita pastikan Melaka bebas kenderaan dapat dilaksanakan.
"Saya amat berharap semua boleh beri kerjasama dan inisiatif yang dilakukan ini tidak dijadikan masalah atau beban besar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perhimpunan bulanan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Kibar Jalur Gemilang di Dewan Taming Sari di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Zulkifli Mohd Zin dan Datuk Bandar MBMB, Shadan Othman.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, peniaga-peniaga yang mahu membawa atau menurunkan barangan jualan boleh berbuat demikian sebelum jam 6 petang.
Menurut beliau, MBMB dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan beban yang dihadapi peniaga dalam tempoh penutupan tersebut.
"Kita minta peniaga terlibat masuk lebih awal sebelum jam 6 petang dan saya yakin MBMB dan BPP juga akan menguar-uarkan makluman ini lebih awal untuk memudahkan peniaga," katanya
Jelas beliau, tempoh percubaan merupakan jangka masa penting untuk pihak terlibat menambah baik sebarang perkara yang berbangkit termasuk kenderaan transit dan sebagainya pada masa akan datang.
Antara laluan terlibat dari Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja - Lorong Gereja - Jalan Laksamana-sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan) - sebahagian Jalan Merdeka (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan ) - Jalan Parameswara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!