Penganjur akui khilaf, pesta air ganti 'Songkran'
GOPENG - Penganjuran Pesta Songkran di Sahom Valley pada hujung Ogos ini akan digantikan dengan Pesta Air Sahom selepas menerima banyak kecaman dan kritikan daripada masyarakat.
Pengarah Urusan Sahom Valley Resort, Shariff Ali Jabad Ali berkata, keputusan itu dilakukan serta-merta bagi mengelak kontroversi dan salah faham dengan penggunaan istilah perayaan yang sinonim dengan masyarakat Siam.
"Sebaik hebahan program dilakukan minggu lalu, kita menerima banyak teguran dan kecaman di media sosial yang tidak bersetuju dengan penganjuran pesta Songkran ini.
"Bukanlah hasrat kita untuk mengadakan pesta sedemikian dan bawa masuk ke Sahom ini, hanya penggunaan istilah itu sahaja. Apapun kami akui khilaf dalam hal ini dan telah melakukan penukaran nama program kepada Pesta Air Sahom," katanya dalam sidang akhbar di Sahom Valley Resort di sini pada Rabu.
Beliau berkata, program yang dijadualkan pada 26 dan 27 Ogos itu diteruskan dengan pengisian pelbagai aktiviti sukan air di sepanjang satu kilometer Sungai Dipang yang terdapat di kawasan percutian itu.
Katanya, penganjuran acara itu juga adalah kali kedua diadakan selepas Mei lalu yang berjaya menarik kunjungan lebih 1,000 pelancong termasuk dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
"Dulu memang kita guna pakai pesta air, cuma kali ini hasratnya mahu cipta kelainan dengan guna istilah Songkran sebagai tarikan, tetapi tak sangka kami terlepas batasan dan mengundang kecaman pula.
"Kami mohon maaf atas kekeliruan yang berbangkit dan berharap dengan penjelasan ini orang ramai tidak lagi memandang serong," katanya.
Songkran yang merupakan perayaan tradisi tahun baharu masyarakat Siam diraikan dari 13 hingga 15 April menyaksikan orang ramai menembak air ke arah satu sama lain di bawah matahari terik selain berkunjung ke kuil untuk bersembahyang dan melakukan upacara memberi persembahan.
Media sebelum ini melaporkan, Pemuda Pas Kawasan Kampar membantah sekeras-kerasnya penganjuran Pesta Songkran di Sahom Valley Resort kerana bercanggah dengan prinsip Islam.
Isu berkenaan juga tular di media sosial dengan sebahagian besarnya tidak bersetuju acara Songkran diadakan di kawasan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Pas Kampar bantah penganjuran Pesta Songkran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!