Shopee Piala FA: Yeop perlu manfaatkan peluang
Pengurusnya Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, skuad The Bos Gaurus itu diharapkan mampu melakar kejayaan di laman sendiri setelah terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan 3 Mei lalu.
Justeru menurut Adly Shah, tiada sebarang perubahan besar dilakukan menjelang perlawanan berkenaan dan kesebelasan pemain diharapkan mampu memberikan aksi terbaik bagi menempah slot ke separuh akhir kelak.
“Kita sekadar seri 0-0 di Manjung untuk aksi suku akhir pertama baru-baru ini. Namun bagi saya, tidak ada perubahan pemain terutamanya pemain bagi perlawanan ini.
“Cuma bezanya kali ini kita akan bermain dalam bulan puasa pula bagi aksi kedua suku akhir Piala FA dan kita akui, pemain mungkin keletihan,” katanya.
Untuk rekod, Perak dan PKNP FC terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 3 Mei lalu.
Sementara itu Adly Shah optimis kesebelasan skuad Kejor Yeop Skor itu tidak berdepan dengan masalah kecergasan menjelang aksi suku akhir berkenaan.
Katanya, majoriti pemain telah lama beraksi dalam arena bola sepak tanah air termasuk ketika di bulan Ramadan.
“Pemain telah lama bermain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan bagi kita tidak ada masalah khususnya tahap kecergasan masing-masing untuk beraksi dalam bulan puasa kali ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!