Lantikan Exco: Bakri sedia terima portfolio lain

Bakri
Bakri
A
A
A

JELEBU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir bersedia menerima portfolio lain dalam barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Sembilan berbanding sebagai Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum ini.

Bakri yang merupakan calon tunggal Parti Amanah Negara (Amanah) yang memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu bagaimana pun akur sekiranya tidak lagi dipilih sebagai Exco.

"Pakatan Harapan (PH) terbentuk daripada tiga parti (Amanah, PKR dan DAP) atas dasar parti komponen dalam gabungan itu, wajarlah kita (Amanah) diberi kuota Exco berkenaan, walaupun kita hanya menang satu kerusi sahaja pada PRN lalu.

"Setakat ini belum ada lagi perbincangan mengenai Exco itu, mungkin satu untuk Amanah, dua PKR dan empat DAP ataupun sebaliknya. Terpulanglah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pembahagiannya (kuota)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, Amanah bertanding di dua kerusi DUN iaitu Klawang dan Paroi, namun tewas di Paroi.

Bakri memenangi kerusi DUN Klawang apabila mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga sepupunya, Danni Rais dengan majoriti 577 undi.

Bakri memperoleh 4,598 undi manakala Danni menerima 4,021 undi manakala calon bebas yang juga bekas Ketua Kawasan Amanah Jelebu Saiful Bahri Jaaman hanya mendapat 364 undi.

Dalam pada itu, Bakri berkata, sekiranya dipilih sebagai Exco dengan portfolio yang sama iaitu pertanian dan keterjaminan makanan, ada beberapa perkara yang belum dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara yang akan diteruskan dalam memastikan pembangunan industri makanan haiwan ternakan adalah pembangunan padang ragut di Kampung Renal.

"Padang ragut itu membabitkan keluasan 72 hektar yang akan diusahakan dalam kalangan penduduk tempatan sekali gus akan membantu dalam penyediaan sumber makanan kepada haiwan ternakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!