FAM cabar skuad B-23 buktikan kemampuan

Mohd Yusoff (enam dari kiri) bersama pasukan B-23 negara yang akan menggalas cabaran di Rayong, Thailand. - Foto FB FAM
Mohd Yusoff (enam dari kiri) bersama pasukan B-23 negara yang akan menggalas cabaran di Rayong, Thailand. - Foto FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mencabar skuad bawah 23 (B-23) tahun negara untuk membuktikan kemampuan dalam Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand walaupun pasukan kali ini tidak dibarisi beberapa pemain utama.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, skuad muda negara perlu hadir ke kejohanan tersebut dengan semangat juang tinggi sekali gus menghadirkan keputusan positif.

“Dengan ketiadaan beberapa pemain utama dalam skuad kali ini, rebutlah peluang yang ada ini untuk anda semua membuktikan kemampuan yang dimiliki.

“Kita kena pergi dengan semangat juang yang tinggi untuk menebus kegagalan pada Sukan SEA yang lalu. Ini peluang terbaik, kena beri yang terbaik dari hati dan tunjukkan kesungguhan 100 peratus di atas padang.

“Dengan usaha dan doa, insya-ALLAH kita akan dapat mencapai sesuatu di Thailand nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi makan malam skuad B-23 negara pada Selasa sebelum pasukan negara berlepas ke Thailand bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong bermula Khamis sehingga 26 Ogos ini.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan B akan berdepan Indonesia pada Jumaat ini dan Timor-Leste pada Selasa, 22 Ogos 2023.

Tiga pasukan juara kumpulan (A, B dan C) dan satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos dan seterusnya penentuan tempat ketiga dan final pada 26 Ogos 2023.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!