Tiada konflik kepentingan atas perlantikan Sundarajoo - Kon Yeow

Sundarajoo
Sundarajoo
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada isu konflik kepentingan dalam perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Datuk Seri S Sundarajoo sebagai Exco Perumahan dan Alam Sekitar.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Sundarajoo kini tidak lagi memegang apa-apa jawatan ataupun mempunyai kepentingan dalam syarikat pembangunan hartanah.

Sebaliknya Kon Yeow berkata, dengan pengalaman dan kepakaran beliau dalam bidang pembangunan perumahan boleh dijadikan aset kepada kerajaan negeri terutamanya dalam pembangunan negeri ini.

"Setahu saya dia (Sundarajoo) bukan lagi pengarah atau pegang apa-apa jawatan dalam syarikat pemaju dan difahamkan dia hanya ada sedikit pegangan saham.

"Kita boleh lihat pengalaman beliau berpuluh tahun dalam bidang pembangunan perumahan sebagai aset untuk memahami isu ini dari sudut pandangan pemaju dan yang lain dari pihak kerajaan memang ada pandangan dari segi teknikal dalam pemilihan beliau bagi jawatan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang, di sini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berkata, semua ahli MMK yang dilantik tidak dibenarkan ada sebarang kepentingan perniagaan seperti yang termaktub dalam undang-undang negeri ini.

"Sememangnya dalam undang-undang mana-mana exco pegang jawatan ini tidak lagi dibenarkan ada kepentingan perniagaan...Itu amat jelas.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya percaya semua exco yang dilantik akan dan perlu mematuhi syarat ini," tambahnya lagi.

Sundarajoo yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya kali ini menang dengan majoriti 9,139 undi menewaskan tiga lagi calon bertanding dengan memperoleh sebanyak 10,680 undi di Perai.

Difahamkan, sebelum menyertai politik, Sundarajoo merupakan Ketua Pegawai Operasi di syarikat Eco World Development Group Bhd.

Sementara itu, Sundarajoo ketika ditemui berkata, selepas 37 tahun berkecimpung dalam dunia korporat dan pembangunan hartanah beliau mengambil keputusan untuk bersara sebelum ditawarkan oleh DAP untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

"Saya pun tak sangka dan gembira dengan perlantikan jawatan ini...kemungkinan saya dipilih berdasarkan latar belakang saya sebagai pemaju sebelum ini.

"Apabila saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang politik dan ingin menawarkan khidmat kepada rakyat, saya memang tidak ada apa-apa lagi jawatan mahupun kepentingan dengan sebarang perniagaan," katanya.

Mengulas mengenai perancangan yang akan dilakukan, Sundarajoo berkata, beliau berhasrat untuk memperbanyakan lagi rumah kos rendah dan mampu milik di kawasan Seberang Perai.

Selain itu, katanya banyak kawasan perumahan lama terutamanya lebih 30 tahun akan dibaik pulih semula berikutan keadaan bangunan yang agak teruk.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!