KPKM laksana Op BPT bagi tangani penyelewengan beras
SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (Op BPT) bermula 16 Ogos ini bagi membanteras isu penipuan dan penyelewengan BPT serta beras putih import (BPI) seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Op BPT akan memberi fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi (komersial) serta pemborong agar keseluruhan bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan sedia ada.
Menurutnya, KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) telah berkolaborasi secara strategik bersama Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Op Jamin bermula 7 Julai lalu bagi meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara.
“Sehingga 10 Ogos 2023, sebanyak 925 pemeriksaan telah dilaksanakan antara KPKM dan KPDN di seluruh negara bagi memastikan kestabilan bekalan BPT sentiasa terjamin.
“KPKM memandang serius berkenaan dakwaan penipuan oleh pemborong beras tempatan yang membungkus semula kampit BPT menjadi BPI yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, KPKM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522).
“Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000, dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya dan syarikat sehingga RM50,000.
“KPKM ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong serta peruncit agar tidak sesekali melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label BPT kepada BPI dan dijual pada harga jualan runcit BPI,” ujarnya.
Orang ramai diminta menghantar sebarang maklumat mengenai bekalan atau penipuan yang berlaku ke e-mel aduankpb@kpkm.gov.my atau melalui talian 03-88701751/1748/1183.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!