Pekerja maut ditimbus simen, JKKP arah henti kerja

Kerja-kerja pembersihan silo di sebuah kilang simen di Chemor diarah dihentikan susulan kematian seorang pekerjanya, Isnin lalu.
Kerja-kerja pembersihan silo di sebuah kilang simen di Chemor diarah dihentikan susulan kematian seorang pekerjanya, Isnin lalu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengarahkan pemilik sebuah kilang simen di Chemor dekat sini untuk menghentikan kerja-kerja pembersihan silo susulan kematian seorang pekerjanya, Isnin lalu.

Kejadian sekitar jam 3.15 petang itu mengakibatkan seorang pekerja warga Bangladesh dikenali Roki Md Jadidur Rahman, 26, maut akibat ditimbus simen.

Pengarah JKKP Perak, Dr Rabaayah Daud berkata, siasatan mendapati semasa kejadian mangsa bersama dua rakan kerja sedang menjalankan kerja memecahkan simen keras pada manhole menggunakan tukul dan rod besi.

Menurutnya, semasa kerja-kerja dilakukan, simen yang berada dalam silo telah tersembur keluar melalui manhole tersebut dan menyebabkan mangsa terjatuh dan ditimbus oleh simen tersebut.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Susulan dari siasatan awal dijalankan, JKKP mengeluarkan satu notis larangan kepada majikan untuk menghentikan kerja-kerja pembersihan silo sehingga tindakan penambahbaikan diambil pihak majikan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, kejadian seumpama itu boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal ini, majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelak berlakunya kemalangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!