Salah guna MyKad: Bersih gesa SPR siasat petugas pilihan raya

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera melakukan siasatan terhadap petugas pilihan raya berhubung laporan penggunaan kad pengenalan oleh pihak lain pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.

Bersih dalam satu kenyataan berkata, kesalahan tersebut menyebabkan pemilik sebenar kad pengenalan itu tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Menurut kenyataan itu, menggunakan kad pengenalan orang lain merupakan satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 3(1)(l) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu mengundi di bahagian pilihan raya yang tidak berhak untuk mengundi dan kesalahan penyamaran.

"Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Marang, Terengganu; Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja Uda, Selangor dan SK Taman Mahsuri, Kedah.

"SPR perlu segera melakukan siasatan di pusat-pusat pengundian yang dilaporkan terjadinya kesalahan ini terutamanya kerani pengundian satu dan dua yang bertanggungjawab untuk mengesahkan identiti setiap pemilih," kata kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, sebanyak 94 laporan berkenaan kesalahan sama diterima oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.

"Penyalahgunaan kad pengenalan dan penyamaran dalam pilihan raya adalah kesalahan yang berat kerana telah menyebabkan pengundi sebenar dinafikan hak mereka untuk mengundi, sekali gus menjejaskan integriti daftar pemilih serta perjalanan pilihan raya.

"Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu melakukan siasatan yang telus dan menjelaskan isu ini kepada umum," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Bersih, siasatan di peringkat Parlimen termasuk mendapatkan laporan-laporan perjalanan pilihan raya oleh SPR seperti butiran perbelanjaan, isu-isu pilihan raya dan isu daftar pemilih juga perlu dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis terima dua laporan kad pengenalan digunakan orang lain

PRN: Siasatan polis menjurus kes kad pengenalan palsu

Isu salah guna IC semasa PRN: Polis buka 20 kertas siasatan

Polis terima 3 laporan nama, MyKad diguna individu lain untuk mengundi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!