Elak kanak-kanak guna gajet sebelum usia dua tahun - Pakar

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu bapa dan penjaga disarankan agar tidak mendedahkan anak mereka dengan penggunaan gajet sebelum berusia dua tahun, kata Pakar Oftalmologi Pediatrik dari Pusat Perubatan Sunway (SMC), Dr Chin Pik Kee.

Pik Kee berkata, selepas mencapai umur berkenaan, barulah kanak-kanak itu boleh dibenarkan melakukan aktiviti menggunakan gajet bersama ibu bapa atau penjaga dan bukannya secara bersendirian atau tanpa pengawasan.

Katanya, ini berikutan berlaku peningkatan masalah rabun dalam kalangan kanak-kanak terutama semasa pandemik apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan sesi persekolahan dijalankan secara dalam talian hingga mencetuskan kebimbangan.

"Selain genetik, rabun juga boleh berlaku disebabkan faktor persekitaran seperti pembangunan masyarakat luar bandar dan gaya hidup moden.



"Perubahan ini menyebabkan kegiatan seharian kini beralih kepada aktiviti di dalam rumah dan pertambahan masa melakukan perbuatan dengan jarak kerja dekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk itu, beliau mencadangkan bagi kanak-kanak berusia 10 tahun, masa skrin rekreasi dihadkan kepada maksimum dua jam sehari dan diselang-seli dengan waktu berehat.

Menurutnya, ia penting kerana kanak-kanak memerlukan masa untuk bermain dengan kreatif, melakukan aktiviti fizikal serta meluangkan masa di luar rumah kerana kesemua elemen ini penting untuk pertumbuhan dan perkembangan holistik kanak-kanak.

Selain itu, Dr Pik Kee berkata, kajian juga menunjukkan masa di luar rumah merupakan faktor penting untuk pertumbuhan mata yang normal sewaktu zaman kanak-kanak.

"Kanak-kanak yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam di luar rumah setiap hari kurang cenderung untuk mengalami miopia (rabun jauh). Sekiranya perlu memakai cermin mata, ia mungkin berlaku apabila usia mereka semakin meningkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sesetengah kejadian rabun jauh mungkin tidak dapat dielakkan, misalnya disebabkan penggunaan komputer atau "tablet” untuk kelas dan kerja sekolah.

Bagaimanapun, katanya, terdapat cara untuk membantu mengurangkan simptom dengan menerapkan tabiat yang baik dalam kalangan kanak-kanak, ia termasuk mengalihkan pandangan daripada skrin serta melihat sesuatu objek yang berada pada jarak jauh setiap 20 minit.

Selain itu, katanya antara langkah lain yang boleh dilakukan mengedipkan mata dengan kerap, duduk dengan postur yang baik serta berehat seketika pada selang masa yang tetap, dan sekiranya kanak-kanak sudah menghabiskan masa yang banyak di hadapan skrin untuk belajar, wajar mengurangkan masa skrin sewaktu santai.

Pada masa sama, antara langkah proaktif lain yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah melakukan pemeriksaan mata untuk anak-anak, membekalkan mereka dengan diet yang sihat dan seimbang, serta pendidikan tentang keselamatan mata dan pencegahan kecederaan mata daripada objek tajam mahupun haiwan peliharaan.

Dr Chin turut mengingatkan pengambilan suplemen tidak mampu meningkatkan penglihatan jika seseorang itu tidak mengalami sebarang defisiensi, sebaliknya pengambilan vitamin tertentu secara berlebihan boleh mendatangkan bahaya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!