Reezal jamin jadi 'backbenchers' berkesan kerajaan Pulau Pinang
GEORGETOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi jaminan akan memainkan peranan aktif sebagai ahli ‘backbenchers’ (penyokong) kerajaan negeri Pulau Pinang.
Berbekalkan pengalaman sebagai bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ahli Parlimen Kepala Batas, katanya, beliau akan memainkan peranan beackbenchers tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Sekarang negeri ini memerlukan backbencher yang kuat dan saya akan memainkan peranan itu dalam DUN,” katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas pembentukan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang pada Rabu.
Reezal Merican, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, mengalu-alukan pembentukan barisan exco komposisi campuran muka lama dan baharu yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing.
Ditanya mengenai desas-desus pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 yang tular di media sosial semalam, Reezal Merican menyifatkan ia sebagai spekulasi.
Katanya, beliau sentiasa akur dan setuju dengan keputusan yang diambil oleh kepimpinan tertinggi kerana kesetiaannya kepada parti."Saya anggap spekulasi ini adalah angan-angan oleh netizen kerana saya adalah bekas menteri tapi kita kena faham gelanggang di peringkat negeri ini berbeza dan saya dianggap sama sahaja seperti yang lain.
"Saya tidak mengambil serius spekulasi itu,” katanya.
Reezal Merican menegaskan bahawa keutamaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah untuk menebus kekalahannya di Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRN Pulau Pinang, Sabtu lalu, Reezal Merican menewaskan penyandang Khaliq Mehtab Mohd Ishaq calon dari Perikatan Nasional (PN) di DUN Bertam dengan majoriti 2,321 undi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!