Mohamad Sabu terima resolusi keterjaminan makanan

Mohamad Sabu (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan replika cek Program Inkubator Usahawan bernilai RM966,250 oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (dua, kanan) kepada Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman (kiri) pada Rabu. - Foto: Bernama
Mohamad Sabu (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan replika cek Program Inkubator Usahawan bernilai RM966,250 oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (dua, kanan) kepada Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman (kiri) pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

SERDANG - Resolusi Keterjaminan Makanan, yang mengandungi cadangan antaranya memperkasa golongan petani, penternak dan pesawah melalui pengembangan teknologi pertanian terkini, diserah kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Rabu.

Resolusi itu, hasil garapan perbincangan pakar dan pemegang taruh pada Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023, diserah kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu oleh Naib Canselor Universiti Putra (UPM), Profesor Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Bercakap kepada media selepas menutup persidangan dua hari itu di sini pada Rabu, Mohamad menyifatkan persidangan itu sebagai platform yang sesuai dalam membantu KPKM mencapai hala tuju dasar pertanian dan sekuriti makanan manakala resolusi dihasilkan bersesuaian dengan kehendak kementerian.

Beliau berkata, banyak isu dan permasalahan dapat dibangkit dan dibincang manakala cadangan penambahbaikan dapat dicambah sepanjang persidangan itu berlangsung.

"Memang kita sedar anak-anak muda tak nak ceburi bidang pertanian kerana pendapatannya lambat dan kalau dapat pun, tidak begitu tinggi, tapi sekarang ini saya lihat pertanian moden ini ramai nak ceburi," katanya.

Mohamad juga berkata lebih 340 peserta mengambil bahagian pada persidangan itu bersama 36 pempamer yang terdiri daripada industri dan agensi kerajaan.

Sementara itu, Mohd Roslan dalam ucapannya berkata, UPM beriltizam terus memacu kecemerlangan dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan untuk bersama-sama membantu kerajaan menangani isu keterjaminan makanan serta peningkatan harga makanan yang sedang dihadapi oleh rakyat.

Beliau berkata, penganjuran persidangan itu adalah manifestasi Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu memperkukuh agenda sekuriti makanan negara menerusi penglibatan universiti bersama komuniti.

Pada majlis itu, Mohamad melancarkan program Agrobank Inkubator Pembangunan Belia Tani Dikalangan Siswazah (PROBEST) dengan Agrobank memperuntuk sejumlah RM965,250 bagi projek tanaman dan penternakan terpilih kepada 34 peserta yang merupakan pelajar UPM.

Artikel Berkaitan:

Program itu akan memberi pendedahan kepada usahawan golongan belia dengan pelbagai latihan kemahiran insaniah serta bimbingan keusahawanan yang merangkumi modul seni urus kewangan, teknik pemasaran digital, pengembangan perniagaan dan pelbagai bentuk perkhidmatan perniagaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!