Isu Ambalat: G57 lapor polis, gesa Speaker gantung ADUN Tungku

Zulkarnain (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap ADUN Tungku di luar Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu pada Rabu.
Zulkarnain (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap ADUN Tungku di luar Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menggantung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P Alian.

Ia susulan kenyataan Assaffal dalam sidang DUN baru-baru ini bahawa kerajaan pusat telah menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, satu laporan polis telah dibuat bagi membersihkan nama kerajaan Sabah dan persekutuan selepas fitnah bersifat jahat dan tidak bertanggungjawab dibuat oleh ADUN daripada Parti Warisan (Warisan).

"Kita akan panjangkan laporan ini kepada Speaker DUN (Datuk Seri Kadzim M Yahya) meminta supaya ADUN Tungku membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan kerana sengaja menimbulkan syak wasangka dan kegusaran terhadap rakyat Sabah.

"Banyak sebenarnya nyawa telah terkorban untuk mempertahankan negeri Sabah ini. Oleh itu kenyataan ini menggores perasaan banyak pihak.

"Kita juga meminta Speaker menggantung keahlian daripada DUN, ini permintaan kita yang kita akan buat susulan daripada laporan polis hari ini," katanya pada sidang akhbar selepas laporan polis dibuat di Balai Polis Karamunsing di sini pada Rabu.

Tambah Zulkarnain lagi, walaupun setiap ADUN kebal dari sudut undang-undang kerana mengeluarkan kenyataan dalam DUN Sabah, namun laporan polis itu tetap akan dihantar kepada Speaker DUN Sabah.

"Agar tindakan undang-undang dapat diambil selepas ADUN Tungku itu memfitnah dan berbohong di dalam DUN Sabah," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Assaffal dalam ucapan bahasnya pada sidang DUN Sabah baru-baru ini menyatakan bahawa Ambalat telah diserahkan kepada Indonesia dan perkara itu telah disebarkan melalui rakaman video.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin menjelaskan, perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!