Menteri besar lima negeri mula bertugas
SHAH ALAM - Parti yang menang dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu kini mula membentuk barisan kepimpinan dengan melantik Menteri Besar dan Exco bagi melengkapkan fungsi eksekutif.
Daripada enam negeri yang terlibat dalam PRN, lima negeri antaranya Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang menyaksikan Menteri Besar masing-masing memulakan tugas dan masuk pejabat pada minggu ini kecuali Selangor.
Bagi negeri gabungan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) iaitu Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing melantik Datuk Seri Aminuddin Harun serta Chow Kon Yeow sebagai Menteri Besar.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas beliau sebagai Menteri Besar Terengganu secara rasmi pada Rabu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Muhammad Sanusi melafaz sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di sini pada jam 10.15 pagi Isnin.
Terdahulu, tanda tanya Menteri Besar Kelantan terjawab apabila Datuk Nassuruddin Daud yang baru dilantik jawatan itu pada Selasa dan memulakan tugas secara rasmi hari Rabu.
Kini, menjadi persoalan semua pihak siapa bakal menerajui negeri Selangor memandangkan belum ada keputusan sahih berhubung perkara tersebut.
Menteri Besar Selangor dijangka mengangkat sumpah selewat-lewatnya pada Isnin depan namun masih menjadi tanda tanya sama ada Datuk Seri Amirudin Shari bakal mengekalkan jawatan disandang sebelum ini atau sebaliknya.
Ini kerana, Pakatan Harapan (PH) menghantar tiga nama kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan memberi keutamaan penuh kepada Amirudin berikutan kecemerlangan rekod prestasi beliau mentadbir Selangor.
Bagaimanapun, selagi upacara angkat sumpah jawatan itu belum dilaksanakan maka pelbagai kemungkinan yang akan berlaku.
Difahamkan dua lagi nama yang diserahkan kepada istana ialah Borhan Aman Shah (Tanjung Sepat) dan Fahmi Ngah (Seri Setia).
Memetik laporan MalaysiaGazette, masa yang panjang untuk mengangkat sumpah diperlukan bagi memberi ruang kepada Istana Selangor membuat persiapan sewajarnya selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pulang ke tanah air semalam selepas menjalani prosedur perubatan di luar negara.
Bagaimanapun Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim bagaimanapun berkata, gabungan parti itu secara konsensus telah bersetuju untuk mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!