[VIDEO] Rezeki bulan kemerdekaan

A
A
A

PASIR MAS - Upah menjahit pakaian bertemakan kemerdekaan yang mahal memberi idea kepada seorang peniaga untuk menawarkan khidmat menyewa pakaian berkenaan kepada orang ramai sekali gus menjimatkan kos pembelian.

Berkongsi situasi itu, Marhaini Suriana Ayub, 34, berkata, pada mulanya dia menempah pakaian bertema kemerdekaan untuk tiga anak perempuannya setiap kali program kemerdekaan berlangsung di sekolah.

Marhaini menunjukkan gaun kanak-kanak bertema kemerdekaan yang menjadi pilihan pelanggan.
Marhaini menunjukkan gaun kanak-kanak bertema kemerdekaan yang menjadi pilihan pelanggan.

Bagaimanapun katanya, setiap tahun kos upah menjahit meningkat menyebabkan dia mencari idea untuk mengurangkan belanja.

"Idea bermula tahun lepas apabila semua sekolah mula aktif dengan aktiviti selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

"Saya meminta rakan menjahit beberapa pasang baju untuk disewakan berikutan ramai yang tidak mampu membelinya kerana keadaan ekonomi ketika itu," katanya ketika ditemui di Kampung Serdang, Tendong, Pasir Mas pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tudung dihiasi batu bercorak bunga raya yang disediakan untuk pelanggan.
Tudung dihiasi batu bercorak bunga raya yang disediakan untuk pelanggan.

Menurut Marhaini, ramai rakan mengadu harga upah mencecah sehingga RM100 sedangkan baju yang dipakai hanya dalam tempoh beberapa jam untuk pertunjukan dan aktiviti bulan kemerdekaan.

Justeru, ibu kepada empat anak itu mula menggunakan media sosial untuk memuat naik gambar baju untuk disewakan dan ternyata mendapat sambutan menggalakkan.

"Bermula 3 Ogos saya sudah tidak menang tangan melayan tempahan orang ramai dan biasanya akan tamat pada September iaitu selepas sambutan Hari Malaysia," katanya.

Marhaini memberitahu, kadar harga yang ditetapkan untuk sewaan pakaian bertema kemerdekaan bermula RM15 bergantung kepada jenis rekaan dan disediakan bersama aksesori.

Sehingga kini, koleksi pakaian merdeka kanak-kanak yang dimiliki Marhaini ialah sebanyak 50 pasang termasuk kurta, gaun dan kurung moden.

Dia yang kini sedang hamil anak kelima itu gembira kerana ibu bapa mula menyedari pentingnya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan anak-anak dan memanfaatkan bulan kemerdekaan.

Jelas beliau, kanak- kanak seawal usia lima atau enam tahun juga sudah memahami erti merdeka melalui pelbagai aktiviti di taska dan tadika seperti pakaian beragam, pertandingan nyanyian atau pantun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!