Hentikan fitnah diulang-ulang - MB

Amirudin gesa pihak tidak bertanggungjawab hentikan fitnah berhubung isu penutupan sekolah agama persendirian di negeri Selangor.
Amirudin gesa pihak tidak bertanggungjawab hentikan fitnah berhubung isu penutupan sekolah agama persendirian di negeri Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa pihak tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Kesal apabila pihak terbabit terus mengulangi fitnah tersebut, beliau turut menegaskan bahawa tohmahan terbabit tidak berasas dan isu berkenaan telah dijawab kerajaan negeri Selangor pada Julai lalu.

“Hentikan fitnah yang diulang-ulang. Telah dijawab semasa bulan Julai dakwaan bahawa lebih 200 sekolah agama ditutup di Selangor adalah fitnah dan tidak berasas,” ciap Menteri Besar di laman Twitternya.

Pada Julai lalu, Amirudin menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Sebaliknya beliau dilaporkan berkata, kerajaan negeri berusaha menambah baik garis panduan pusat pendidikan agama bagi memastikan tahap keselamatan murid terjamin.

Usaha berkenaan dibuat berasaskan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berikutan tragedi kebakaran pusat tahfiz pada 2018 yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid.

Kerajaan Selangor juga telah memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Januari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!