Habis ribuan ringgit ubah suai, motor masuk balai

BSPT IPD Ampang Jaya melaksanakan Op Motosikal di Jalan Bunga Raya, Pandan Indah di Ampang pada Rabu.
BSPT IPD Ampang Jaya melaksanakan Op Motosikal di Jalan Bunga Raya, Pandan Indah di Ampang pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - Tindakan menghabiskan duit ribuan ringgit untuk mengubah suai motosikal mengundang padah apabila kenderaan itu disita menerusi operasi di Jalan Bunga Raya, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Op Motosikal itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 7.30 pagi.

Menurutnya, sebanyak 27 buah motosikal membabitkan Yamaha LC135 (14), Yamaha Lagenda (lima), Honda Wave (empat) dan masing-masing dua melibatkan Yamaha Ego serta Honda EX5, telah disita.

"Sitaan dibuat kerana motosikal diubah suai melampau termasuk menggunakan ekzos bising, tayar sotong selain tiada brek belakang.

"Terdapat juga motosikal yang digunakan warga asing dan tiada lesen memandu," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua motosikal telah dibawa ke BSPT IPD Ampang Jaya untuk proses dokumentasi dan panggil pemilik.

Katanya, sitaan dijalankan bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

Dalam pada itu, operasi itu turut mengeluarkan sebanyak 61 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu yang sah, kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos, tidak patuh pada tunjuk arah dan brek tidak berfungsi dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini bertujuan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya bagi pengguna motosikal.

"Ini berikutan statistik kemalangan yang direkodkan menunjukkan peningkatan yang tinggi dalam kalangan pengguna kenderaan ringan seperti motosikal," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

"Polis akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan demi membanteras pesalah-pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!