Kapten Jepun, Endo dalam radar Liverpool
LIVERPOOL dilihat masih berdepan situasi sukar dalam usaha membentuk skuad mantap selepas sekadar terikat 1-1 dengan Chelsea dalam aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.
Justeru, The Reds tiada pilihan selain perlu mengikat pemain baharu dan kapten Jepun, Wataru Endo berada dalam senarai pengendali Jurgen Klopp.
Pemain tengah Stuttgart itu dilaporkan bakal dibeli dengan tanda harga 16 juta pound (RM94 juta).
Malah pemain berusia 30 tahun itu juga amat dikenali oleh pengarah sukan Liverpool, Jorge Schmadtke dan turut boleh beraksi di benteng pertahanan.
Endo yang masih mempunyai baki kontrak selama setahun dengan Stuttgart dijangka tiba di Merseyside dalam tempoh terdekat untuk menjalani ujian perubatan.
Dia sudah membuat 133 penampilan bersama Stuttgart sejak menyertai kelab itu pada awalnya secara pinjaman dari Sint Truiden.
Liverpool juga dilaporkan kembali membara untuk mendapatkan pemain Bayern Munich, Ryan Gravenberch.
Pemain muda berusia 21 tahun itu meluahkan hasrat untuk meninggalkan kelab gergasi Jerman itu kerana mahu beraksi lebih kerap.
Bayern bagaimanapun keberatan untuk menjualnya tetapi mereka mempunyai ramai pemain tengah dan dilaporkan tertekan untuk mendapatkan semula dana selepas membeli Harry Kane dengan harga 100 juta pound (RM590 juta).
Gravenberch menyertai Bayern dari Ajax tahun lepas dengan kontrak lima tahun, namun hanya diturunkan dalam kesebelasan utama bagi tiga aksi Bundesliga musim lalu.
Liverpool telah membeli dua pemain pada musim panas ini - Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai.
Bagaimanapun, Klopp memerlukan seorang pemain tengah bertahan dengan Endo dijangka mampu menyelesaikan masalah mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!