'Bakar al-Quran adalah menghina, tidak wajar' - Jerman
BERLIN - Serangan terhadap kitab suci umat Islam dilihat "berusaha untuk mewujudkan perpecahan," kata timbalan jurucakap kerajaan Jerman, Christiane Hoffmann pada Rabu.
"Kami mendapati tindakan sedemikian tidak sopan dan tidak wajar. Mereka cuba mewujudkan perpecahan.
"Kami menentangnya. Kami mengutuknya," kata Hoffmann bagi menjawab persoalan yang dikemukakan Agensi Anadolu pada sidang media di Berlin.
Hoffmann menggariskan bahawa pendirian Berlin mengenai penodaan al-Quran adalah jelas, tetapi enggan mengesahkan sama ada Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat akan datang.
Bulan-bulan yang lalu telah menyaksikan tindakan pembakaran al-Quran, penghinaan, atau cubaan untuk melakukannya oleh individu atau kumpulan Islamofobia, terutamanya di negara-negara Eropah utara dan Nordic.
Provokasi-provokasi ini mencetuskan protes dan kemarahan negara-negara Islam. Pihak berkuasa di negara-negara di mana serangan-serangan ini berlaku berdepan kritikan kerana gagal bertindak untuk menghalangnya.
Jerman mementingkan nilai yang tinggi kepada kebebasan, kata Hoffmann, sambil menekankan bahawa ia tidak meliputi "ucapan kebencian atau tindakan kebencian". - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!