Negara sifar rasuah bermula daripada pemimpin

Mohamad Rizza
Mohamad Rizza
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin perlu berhenti berpolitik dan mula bekerja demi rakyat kerana kuasa diberi untuk mereka melaksanakan tugas, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Pengerusi Rasuah Busters Negeri Pahang, Ir Dr Mohamad Rizza Othman berpandangan, manifesto yang dibentangkan oleh pemimpin perlu ditepati dan mula menjalankan tugas mereka untuk membela nasib rakyat.

“Keputusan dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat mengharapkan perubahan daripada kalangan pemimpin.

“Kemenangan ini bukan tiket kepada mereka untuk mengabaikan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat.

“Rakyat memilih dan pemimpin dipilih. Walaupun berlaku kekangan, ia bukan alasan untuk mereka terlibat dalam gejala korupsi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Rizza berkata, antara isu seperti pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan dan penjanaan ekonomi setempat yang dijadikan bahan kempen pilihan raya perlu diselesaikan segera, setidak-tidaknya selesai dalam tempoh penggal lima tahun ini.

“Kita melihat banyak janji dibuat, sama ada oleh parti mahu pun calon yang bertanding. Walaupun ada pihak mengatakan ini adalah janji pilihan raya, kita mahu ia dilaksanakan agar tiada isu penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemimpin.

“Dalam usaha menjadikan negara ini sifar rasuah, ia harus dimulakan dari peringkat pemimpin dahulu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!