Serah kebijaksanaan parti tentu nama calon MB Selangor - Fahmi Ngah
SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Fahmi Ngah menyerahkan sepenuhnya kebijaksanaan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kerajaan negeri bagi menentukan calon terbaik sebagai Menteri Besar Selangor ke-17.
Fahmi berkata, perkara itu juga terserah kepada perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Perkara ini bukan dalam kawalan kita, tapi serahkan kepada mereka (menentukan) sesiapa dirasakan layak untuk menerajui negeri ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Ditanya adakan nama beliau antara yang dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai calon Menteri Besar, Fahmi memberitahu beliau tidak mengetahui tentang senarai calon berkenaan.
"Saya tidak ada maklumat, yang saya tahu dalam surat khabar, itu sahajalah," jelas beliau.
Fahmi sebelum ini antara nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor selain ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari untuk terus menerajui negeri ini buat penggal kedua.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Sabtu lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia selepas meraih majoriti 11, 331 undi.
Fahmi memperoleh 32,367 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Zubir Embong yang mendapat 21,036 undi, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dobby Chew, meraih 1,357 undi dan L Harindron dari bebas mendapat 693 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!