Terima rasuah RM500, koperal didenda RM3,800

Abdul Wahab didenda RM3,800 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu, atas satu pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM500, tiga tahun lalu.
Abdul Wahab didenda RM3,800 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu, atas satu pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM500, tiga tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal didenda RM3,800 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu, atas satu pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM500, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain memerintahkan hukuman itu selepas merekodkan pengakuan bersalah daripada Abdul Wahab Musa, 58.

Ahmad Zamzani juga mengarahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan pilihan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM500 daripada seorang individu di rumah rakit Kampung Bukit Serdang, Kuala Bera di Bera pada 5 September 2021.

Oleh itu, Abdul Wahab melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama dan kedua, Abdul Wahab didakwa menerima wang tunai RM1,000 di Balai Polis Kuala Bera, Bera pada 19 Mei 2021 dan RM500 di rumah rakit, Kampung Bukit Serdang, pada 2 Jun 2021.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan pilihan pertama dan kedua pula sebagai hukumannya diambil kira (TIC) selepas dipohon pihak pendakwaan susulan pengakuan tertuduh.

Sehubungan itu, Ahmad Zamzani menjelaskan tertuduh tidak boleh didakwa di bawah pertuduhan pilihan satu dan dua.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili tertuduh dalam rayuan memaklumkan pengakuan bersalah daripada tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.

Beliau juga memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang tidak melebihi gaji anak guamnya yang masih mempunyai tanggungan.

"Tertuduh merupakan seorang koperal, telah berkhidmat sehingga kini dan hanya mempunyai baki dua tahun lagi untuk dia bersara.

"Sepanjang dalam perkhidmatan tertuduh dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia), dia tidak mempunyai masalah disiplin. Ini adalah kesalahan pertama dan sudah insaf," katanya yang berharap mahkamah mengambil kira perkara itu dalam menjatuhkan hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif dalam hujahnya meminta agar mahkamah mempertimbangkan hukuman bagi pertuduhan itu mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, perbuatan tertuduh jelas mencemarkan imej perkhidmatan dan menjejaskan integriti agensi penguatkuasaan.

"Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan OKT (Orang Kena Tuduh)," hujahnya.