'Polis' ugut, tuduh pelajar gay jika tak beri RM3,000

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis diberkas kerana disyaki menuduh seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi swasta sebagai gay serta memeras ugut wang RM3,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 32 tahun memandu kereta jenis Toyota Corolla Altis telah mengambil mangsa di Jalan Putra 4, di sini, pada jam 4.24 petang, 10 Ogos lalu.

"Suspek mendakwa dirinya seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan menuduh mangsa seorang gay serta mengugut mahu memberitahu ibunya tentang perkara tersebut.

"Suspek kemudian telah meminta wang sebanyak RM3,000. Akibat ketakutan, mangsa menghubungi rakannya untuk memindahkan wang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Azam berkata, mangsa telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,500 kepada suspek ketika berada di dalam kenderaan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Nirwana dan suspek meminta baki separuh lagi diberikan melalui transaksi dalam talian.

Katanya, suspek kemudian telah membawa mangsa ke sebuah bank di Ampang Point untuk mengeluarkan wang, namun gagal sehingga menyebabkan suspek marah dan meninggal mangsa di hadapan sebuah restoran, sebelum beredar.

"Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah menahan suspek di kawasan parkir di Petaling Jaya pada jam 6.40 petang, Rabu," katanya.

Beliau berkata, mangsa berusia 24 tahun itu mengenali suspek melalui akaun Twitter dan siasatan mendapati tujuan suspek berjumpa mangsa adalah untuk melakukan seks luar tabii.

Artikel Berkaitan:

"Suspek juga mengugut mahu menangkap semua golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia, perkara ini menyebabkan pengadu ketakutan," katanya.

Mohd Azam berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan dadah.

"Suspek ditahan reman empat hari bermula Khamis hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!