Yob Poi ceroboh sekolah berjaya dipindahkan
SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya memindahkan seekor gajah liar jantan yang dilaporkan merosakkan kebun pisang milik penduduk Orang Asli di Pos Poi, dekat sini pada Rabu.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, mamalia seberat 2.5 tan yang menghuni Hutan Simpan Piah berhampiran dipercayai tersesat itu turut dikesan menghampiri Sekolah Kebangsaan Pos Poi minggu lalu.
"Gajah dianggarkan berusia 24 hingga 25 tahun itu berjaya ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG), Sabtu lalu.
"Khidmat dua gajah denak Abot dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Pahang digunakan untuk memujuk dan menarik gajah liar berkenaan sejauh kira-kira 100 meter ke atas lori," katanya di sini pada Khamis.
Menurut beliau, operasi memindahkan gajah jantan berkenaan mengambil masa kira-kira lima jam dibantu 20 kakitangan PKGK dan Perhilitan Perak.
Tambah beliau, Yob Poi kemudiannya dilepaskan ke habitat asal di hutan Taman Negeri Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!