KPDN serbu restoran guna logo halal tamat tempoh
PORT DICKSON - Sebuah restoran di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas dikesan menggunakan logo halal tamat tempoh sejak Disember tahun lalu.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, operasi bersepadu membabitkan tujuh anggota penguat kuasa KPDN dan tiga pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dijalankan kira-kira jam 10 malam Rabu.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal bagi perniagaan restoran itu telah tamat tempoh pada 15 Disember 2022 lalu.
"Tindakan telah diambil terhadap restoran tersebut dengan menyita sijil dan logo halal yang dipamerkan untuk tindakan lanjut di bawah Peraturan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati premis itu menjalankan perniagaan masakan sedia masak dan minuman.
"Premis itu juga ada mempamerkan logo halal di kaunter pembayaran, nombor meja dan bunting di dalam premis tersebut," katanya.
Beliau berkata, KPDN Negeri Sembilan akan terus menjalankan pemeriksaan yang sama ke atas mana-mana pihak yang didapati menggunakan logo halal pada produk makanan atau perniagaan menjual makanan dan minuman tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak berkuasa berwibawa.
"Kami ingin menasihatkan peniaga dan pengusaha restoran agar mematuhi perundangan yang berkuat kuasa dalam menjalankan perniagaan dan perdagangan masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!