KDN kawal selia penerbitan mudaratkan ketenteraman awam, negara

Kementerian Dalam Negeri
Kementerian Dalam Negeri
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengulangi komitmen bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam terhadap penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara.

KDN dalam satu kenyataan berkata, tindakan penyeliaan dan kawalan akan dilaksanakan dari masa ke masa secara berterusan.

Ia selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"KDN meneruskan siri Majlis Libat Urus KDN Bersama Badan Perundangan Sivil dan Syariah sebagai kesinambungan komitmen kerajaan dalam menangani isu penggunaan kalimah 'ALLAH' bagi memelihara kemaslahatan ummah, keselamatan, keamanan, perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

"Bertepatan dengan komitmen KDN, majlis ini adalah bertujuan untuk mendapatkan cadangan dan pandangan secara kolektif dari aspek perundangan sivil dan syariah sebagai salah satu proses penyediaan cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN berkaitan penggunaan kalimah 'ALLAH'," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Majlis Libat Urus KDN Bersama Badan Perundangan Sivil dan Syariah siri ketiga itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Seramai 25 pengamal undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Profesor Malaysia, dan Persatuan-persatuan Peguam Syarie Malaysia turut terlibat.

Tambah kenyataan itu, menerusi libat urusan berkenaan, jemputan diberikan ruang untuk membincangkan mengenai pendekatan perundangan khususnya dari sudut cadangan pengemaskinian Arahan Pentadbiran KDN, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan di lapangan, dan punca kuasa Kerajaan berdasarkan segregasi kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Ringkasnya, melalui majlis ini, KDN telah memperoleh input dan cadangan yang menjadi nilai tambah dalam urusan penyediaan cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN agar selaras dengan dasar yang ditetapkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja kelak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!