'Tunggu istana umum' - Amirudin
SHAH ALAM - Sebarang pengumuman berkaitan Menteri Besar Selangor ke-17 yang baharu hanya akan dikeluarkan pihak Istana.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan perkara itu setelah selesai menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini pada Khamis.
"Istana akan umumkan," katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Istana Kayangan selepas lebih sejam mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor.
Ketika ditanya mengenai nama calon Menteri Besar, Amirudin memaklumkan perkara itu perlu dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Itu kena tanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab surat itu dihantar oleh beliau.
"Saya menghadap Tuanku (bincang) perkara biasa, bertanya khabar, bincang beberapa hal negeri, mengenai perkembangan negeri, pencapaian ekonomi dan kesihatan Tuanku," katanya.
Amirudin turut berkata, bagaimanapun tidak semua perkara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Sultan Selangor itu boleh didedahkan.
Terdahulu, Amirudin menaiki kereta rasmi Menteri Besar jenis Toyota Camry dengan diiringi pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia tiba di istana berkenaan kira-kira jam 2.30 petang.
Sebelum ini pelbagai spekulasi mengenai pelantikan Menteri Besar menjadi tajuk utama media termasuk Menteri Besar yang baharu dijangka mengangkat sumpah pada Jumaat ini.
Media sebelum ini turut melaporkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN).
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada 18 Julai lalu, ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Kuala Selangor.
Anwar dilaporkan berkata, keputusan itu bagi memastikan Amirudin dapat meneruskan kecemerlangan dalam mentadbir kerajaan Selangor.
Bagaimanapun, terdapat khabar angin bahawa Amirudin akan diangkat sebagai menteri di peringkat Persekutuan dan tempatnya diganti calon muka baharu juga dari PKR.
Antara nama yang disebut-sebut adalah Dr Fahmi Ngah, calon PKR yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Pada PRN Selangor Sabtu minggu lalu, gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.
Jumlah 34 kerusi itu diperoleh menerusi DAP sebanyak 15 kerusi, PKR pula 12 kerusi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) memperoleh lima kerusi sementara BN hanya dua kerusi.
Sementara itu, PN pula memenangi 22 kerusi menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 12 kerusi manakala Pas mendapat 10 kerusi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Amirudin menghadap Sultan Selangor
Serah kebijaksanaan parti tentu nama calon MB Selangor - Fahmi Ngah
Pemimpin PH Selangor secara konsensus setuju kekalkan Amirudin
'Jangan terjebak spekulasi pelantikan Menteri Besar Selangor'
Menteri Besar Selangor angkat sumpah selewatnya Isnin depan?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!