Nahas pesawat: Tiada panggilan kecemasan dibuat - CAAM
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam tidak membuat panggilan kecemasan atau 'Mayday'.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan panggilan pertama yang dibuat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada 2.47 petang
"Pelepasan pendaratan diberikan pada 248 petang.
"Pada 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang memerhatikan asap yang berpunca dari lokasi nahas tetapi tiada panggilan mayday dibuat oleh pesawat itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Norazman berkata, seramai enam penumbang dan dua kru penerbangan berada dalam pesawat berkenaan.
Bagaimanapun katanya, keadaan semua mangsa masih belum disahkan.
"Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat.
"Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!