Tumpu industri baharu, jana ekonomi negara
KUALA LUMPUR - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan memberi tumpuan kepada pewujudan industri baharu bagi menjana ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi dan relevan mengikut perkembangan semasa.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata teras strategik kedua dalam sektor pertumbuhan baharu itu digariskan dalam perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu untuk memastikan matlamat Kemakmuran Bersama yang dirangka kerajaan Pakatan Harapan dapat dicapai.
“Ledakan teknologi baharu dalam era revolusi industri 4.0 menuntut pelaburan dan mewujudkan kapasiti dalam 15 sektor cadangan sebagai bidang pertumbuhan utama ekonomi, antaranya industri kandungan (hiburan dan digital), hab ASEAN (logistik, teknologi, penyelidikan dan pejabat wilayah) serta pertanian pintar dan bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata kementerian juga telah memulakan langkah perlaksanaan teras strategik keenam iaitu pembangunan wilayah yang inklusif untuk menangani jurang pembangunan antara wilayah.
Justeru, katanya kementeria itu meluluskan projek-projek pembangunan dan infrastruktur bernilai RM4.8 bilion di Kedah dan RM1.4 bilion di Kelantan bagi membangunkan pusat-pusat ekonomi yang komprehensif, di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!