"Tukar bendera parti kepada Jalur Gemilang" - Fahmi Fadzil

Fahmi (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang selepas Majlis Pelancaran Mydin TikTok shop pada Khamis. - Foto: SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Fahmi (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang selepas Majlis Pelancaran Mydin TikTok shop pada Khamis. - Foto: SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SEREMBAN - Semua pihak diseru mencabut bendera parti masing-masing dan mula mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) telah pun berakhir dan kini adalah waktunya untuk semua masyarakat mengorak langkah kehadapan.

"Di Negeri Sembilan ini, kita baharu saja selesai proses PRN dan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam (Rabu), Perdana Menteri mengingatkan yang politik telah selesai dan marilah kita bersama sebagai sebuah negara dan maju ke depan.

"Jadi kita tukar, dulu kita angkat bendera parti dan sekarang kita angkat bendera Malaysia. Saya harap bukan saja Mydin tapi lebih ramai pihak lain bersama-bersama kibarkan Jalur Gemilang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Semarak Gemilang Malaysia Madani di Pasar Raya Mydin Seremban 2 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

Menurutnya, usaha menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia bukan sahaja perlu digalas oleh kerajaan tetapi perlu dikongsi bersama dengan syarikat swasta yang berpengaruh seperti Mydin.

Tambahnya, peluang kerjasama strategik yang terjalin perlulah diteruskan pada masa akan datang dengan menerokai peluang dan pendekatan program yang lebih pelbagai.

"Pendekatan menyemarakkan sambutan kemerdekaan di kompleks beli-belah seperti ini perlu dipergiat.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak harus menyedari bahawa selain berkeupayaan menjentik rasa cinta akan tanah air melalui aktiviti santai yang dijalankan, peluang dan program yang dilaksanakan juga berupaya untuk menjana ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur terutamanya anak-anak kecil yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan, perlu sentiasa dipahatkan dengan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

Ujarnya, semangat patriotik seperti ini akan membentuk generasi masa hadapan menjadi individu yang sentiasa berusaha untuk memajukan diri agar dapat memberikan manfaat kepada bangsa, agama dan negara.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, ada berita baik buat seluruh pengamal media yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"Tempoh hari kita umumkan penjawat awam akan menikmati rebat RM10 sebulan bagi langganan pakej postpaid masing-masing menerusi Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam berkuat kuasa 31 Ogos ini.

"Jadi, Insya-ALLAH sikit masa lagi, kita ada pengumuman untuk rakan-rakan media," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!