KPM nafi gagal beri peruntukan sekolah daif di Sarawak
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan kegagalan pihaknya dalam menyalurkan peruntukan kepada sekolah daif di Sarawak.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya dan kerajaan negeri Sarawak telah berbincang mengenai perkara berkenaan bagi memastikan proses pembaikan sekolah daif dapat dilaksanakan.
"Tak betul, kita sudah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri Sarawak.
"Selepas ini juga akan ada lagi pertemuan dari semasa ke semasa. Pertemuan itu antara saya dan Menteri termasuk Timbalan Pendidikan Sarawak.
"Kami akan saling berhubung untuk memastikan pelaksanaan proses dan kerja membaik pulih tempat sekolah daif ini akan tercapai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian program Eksplorasi Merdeka@Muzium 2023 di Muzium Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman, Datuk Dr Juanda Jaya menggesa kerajaan persekutuan untuk menunaikan janji bagi membina sekolah daif di Sarawak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu berkata, terdapat tiga sekolah yang amat daif di kawasannya yang perlu dibina baharu.
Menurutnya, banyak surat dihantar kepada pihak KPM namun tetapi khabar gembira sehingga ke hari ini.
Mengulas perkara tersebut, Fadhlina berkata, KPM kini sedang menggerakkan agenda pendidikan luar kelas antaranya lawatan dua kali setahun bagi setiap pelajar untuk melawat muzium di seluruh negara.
Jelasnya, aktiviti itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti dan minat pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!