Hasrat pesakit leukemia naik tren ‘Thomas & Friends’ tertunai
SHAH ALAM - Hasrat kanak-kanak penghidap leukemia menaiki tren bertemakan ‘Thomas & Friends' akhirnya tertunai, hasil kolaborasi antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Make-A-Wish Malaysia pada Khamis.
Prasarana yang juga operator utama rel dan bas, berpeluang menunaikan hasrat kanak-kanak berusia lapan tahun itu pada Khamis dan turut dibawa menjelajah Kompleks Rapid Rail Ampang.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan berkata, kanak-kanak tersebut dikenali Ahmad mempunyai minat yang mendalam dengan animasi Thomas & Friends.
“Impiannya untuk menaiki tren telah tercapai dan menjadi sumber inspirasi serta motivasi buat beliau.
“Kami berbesar hati kerana dapat menunaikan impian Ahmad dan berharap program serta inisiatif sebegini dapat menaikkan semangatnya dan anak-anak lain untuk terus bersemangat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Make-A-Wish Malaysia, Datin Linda Ngiam berkata, kerjasama sedemikian membolehkan mereka membawa pengalaman yang penuh bermakna kepada Ahmad.
Beliau turut berterima kasih kepada kakitangan Prasarana yang membantu dalam merealisasikan program berkenaan.
“Kami pasti setiap kali Ahmad menaiki tren, pengalaman ini akan sentiasa terpahat dalam ingatannya,” jelasnya.
Minat Ahmad terhadap Thomas & Friends menjadi terapi dan sumber kegembiraannya semasa berada di hospital.
Sejak prognosisnya, Ahmad dijadualkan akan menyelesaikan enam kitaran rawatan kemoterapi intensif dan kini sedang melengkapkan kitaran ketiga.
Bagi program ini, Ahmad dibawa melawat Pusat Kawalan Operasi di Stesen LRT Ampang, di mana beliau mempelajari tentang tren dan operasinya secara lebih mendalam, diikuti dengan peluang untuk bersama pegawai tren di koc pemandu ketika tren bergerak ke Stesen LRT Chan Sow Lin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!