Tragedi bot karam: Pemancing terakhir dijumpai

Laporan Sinar Harian hari ini mengenai tragedi bot karam. (Gambar kecil: Chong Yuen Khang)
Laporan Sinar Harian hari ini mengenai tragedi bot karam. (Gambar kecil: Chong Yuen Khang)
A
A
A

KEMAMAN - Mangsa terakhir tragedi bot karam di perairan Kuala Dungun, kelmarin, ditemui semalam pada jarak kira-kira 30 batu nautika dari Kerteh, di sini.

Mayat Chong Yuen Khang, 36, ditemui bot nelayan tempatan kira-kira jam 7.35 petang semalam.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum dipindahkan ke kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), KM Nusa untuk dibawa ke jeti APMM Zon Maritim Kemaman.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mangsa tiba di jeti berkenaan kira-kira jam 6.18 pagi tadi.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

"Dengan penemuan pemancing terakhir, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kita tutup," katanya.

Abang dan rakan yang membuat pengecaman mengesahkan mayat mangsa.

Dalam tragedi 1 pagi kelmarin, bot kelas A dinaiki lima pemancing bersama dua awak-awak dan seorang tekong karam selepas dipukul ombak besar akibat ribut pada kedudukan kira-kira 31 batu nautika dari Kuala Dungun.

Artikel Berkaitan:

Empat mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terapung kira-kira jam 1 tengah hari semalam, namun salah seorang mangsa, Chan Kai Wai, 51, didapati sudah meninggal dunia.

Tiga yang terselamat, Choo Yaw Wu, 48; Lok Win Thye, 28 dan warga Singapura, Tan Buck Choon, 51, mengikat mayat Kai Wai bersama mereka yang berpaut pada boya keselamatan bagi mengelakkan rakan mereka itu tenggelam atau hanyut dibawa arus.

Terdahulu, tekong bot, Erwan Nordin, 39, bersama dua awak-awaknya, Baharudin Jusoh, 52, dan Mohamad Zulkifli Isnain, 26, diselamatkan bot nelayan tempatan berpangkalan di Kuantan kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Lima pemancing yang menyewa bot berkenaan pula terpisah dibawa arus selepas bot berkenaan karam.

Berikutan insiden itu, operasi SAR dilakukan APMM bermula jam 11.45 malam kelmarin dan tiga helikopter APMM iaitu satu AW 139 dan dua Dauphin AS365N3 diatur gerak ke lokasi pencarian seluas 170 batu persegi pada pagi semalam.

Operasi turut dibantu sebuah kapal ronda APMM KM Nusa, aset dan anggota Pasukan Polis Marin Kuantan serta Persatuan Nelayan Kawasan Dungun dengan keseluruhan kekuatan keanggotaan seramai 90 orang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!