Pameran meriam di Fort Cornwallis, lokasi asal ia ditemui

Kon Yeow (empat dari kanan) melihat meriam yang telah dibaikpulih di USM hari ini.
Kon Yeow (empat dari kanan) melihat meriam yang telah dibaikpulih di USM hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Sepasang meriam yang berusia 200 tahun akan dipamerkan di Fort Cornwallis untuk paparan awam, demikian cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, ini merupakan julung kali pameran seumpama diadakan itu di lokasi meriam itu ditemui.

"Orang ramai berpeluang melihat meriam yang telah dibaikpulih selain melihat sendiri bagaimana proses penggalian serta kerja-kerja lain yang dilakukan di tapak tersebut.

"Selaku pemilik tapak dan syarikat konsesi yang menguruskan kubu ini, Perbadanan Ketua Menteri (CMI) bertanggungjawab dalam aspek pembukaan kubu ini kepada orang awam," katanya pada sidang media di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Kon Yeow berkata, melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Kerajaan Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM32,100 untuk membaikpulih dua buah meriam tersebut.

"CMI juga akan membuat keputusan mengenai kawasan mana yang akan dibuka untuk lawatan umum," katanya.

Meriam-meriam yang akan dipamerkan itu dijumpai sekitar tahun lalu dan mengambil masa kira-kira setahun untuk proses membaikpulih.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (CGAR) USM, Profesor Datuk Mokhtar Saidin berkata, pihaknya secara rasmi menyerahkan kembali sepasang meriam itu kepada Kerajaan Pulau Pinang bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga telah menjumpai sebuah lagi meriam dan mortar di kawasan berbeza ketika kerja penggalian di kubu itu baru-baru ini.

"Pemuliharaan meriam dan mortar akan bermula bulan Jun ini dan ia akan mengambil masa setahun untuk diselesaikan, bergantung kepada keadaan. Kedua-duanya berusia 200 tahun yang digunakan ketika era Raja George III.

"Selepas dipulihkan, ia akan dipamerkan di lokasi di mana ia ditemui di Fort Cornwallis. Bagaimanapun, ia masih lagi berada di tapak penggalian dan akan dibawa ke USM untuk proses baikpulih tidak lama lagi. Kos membaikpulih akan dibiayai CMI," katanya.

Mokhtar berkata, rekod sejarah menunjukkan terdapat kira-kira 140 buah meriam dan mortar di Fort Cornwallis tetapi hanya 24 buah yang direkodkan.

"Sebelum ini, sebanyak 17 meriam yang dijumpai dan dibaikpulih dipamerkan di sekitar kubu, tiga diletakkan di pintu masuk Hotel E & O dan empat ditemui semasa kerja penggalian.

"Kerja-kerja penggalian di kubu tersebut membuktikan bahawa ia kubu sebenar. Sebelum ini ada dakwaan mengatakan Fort Cornwallis bukan kubu sebenar kerana saiznya kecil," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan penemuan peluru hidup yang telah digunakan membuktikan ia kubu sebenar yang diguna tentera British.

"Kerja-kerja penggalian juga mendedahkan stratigrafi yang menarik di mana terdapat 'lapisan British', 'lapisan Jepun' dan 'lapisan moden'," katanya.

CAGR USM telah menjadi perunding dalam kerja penggalian dan arkeologi di kubu tersebut sejak 2017.

Fort Cornwallis kini menjalani kerja-kerja pemuliharaan sebagai sebahagian daripada projek North Seafront yang dijalankan oleh Perbadanan Pemuliharaan dan Pembangunan George Town (GTCDC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!