Spesies ular dinamakan sempena Harrison Ford

Ford bersetuju untuk namanya digunakan melalui perundingan yang dibuat oleh Conservation International. - Agensi
Ford bersetuju untuk namanya digunakan melalui perundingan yang dibuat oleh Conservation International. - Agensi
A
A
A

LIMA - Saintis di Peru telah menamakan spesies baharu ular yang ditemui di hutan negara itu sempena nama aktor veteran terkenal Hollywood, Harrison Ford.

Ia sebagai penghormatan kepada pelakon filem Indiana Jones itu yang terlibat aktif dalam aktiviti konservasi.

Menurut kenyataan Universiti Kebangsaan San Marcos, reptilia berukuran 40 Sentimeter (sm) itu pertama kali ditemui pada Mei 2022 di kawasan pergunungan hutan Taman Negara Otishi.

Ular unik itu yang berwarna coklat kekuningan dengan bintik hitam di perut diberi nama saintifik Tachymenoides harrisonfordi.

Reptilia itu pertama kali ditemui oleh pasukan yang diketuai oleh Edgar Lehr, seorang ahli biologi Amerika Syarikat-Jerman.

"Ia dinamakan sempena Harrison Ford kerana dia aktif dalam isu alam sekitar.

"Saya mendapat tahu bahawa Ford bersetuju untuk namanya digunakan melalui perundingan yang dibuat oleh Conservation International", kata Lehr.

Katanya lagi, ular itu ditemui di kawasan yang hanya boleh diakses menggunakan helikopter.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengambil masa selama tujuh hari untuk mencari ular tersebut," ujarnya.

Tambah Lehr, ular itu tidak berbahaya kepada manusia tetapi ia pandai memburu kodok dan biawak.

Jurnal Herpetologi Jerman, Salamandra menerbitkan kajian pada Selasa mengenai penemuan ular itu.

Tahun lalu, saintis di Serbia menamakan spesies kumbang yang baru ditemui sempena bintang tenis negara itu, Novak Djokovic kerana kelajuan, kecekalan, kekuatan dan keanjalan serangga tersebut.

Duvalius Djokovici adalah pemangsa dalam persekitaran bawah tanah, buta dan sama keturunan dengan spesies Coleoptera Carabidae yang mempunyai kepelbagaian tinggi serta memainkan peranan penting dalam ekosistem. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!