Kembali rapatkan saf, bangunkan negara

Selepas PRN enam negeri berakhir, maka lupakanlah sengketa dan perbezaan pendapat itu.
Selepas PRN enam negeri berakhir, maka lupakanlah sengketa dan perbezaan pendapat itu.
A
A
A

DEBARAN pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri telah berakhir pada Sabtu lalu. Segala teka-teki juga telah terjawab.

Perikatan Nasional (PN) ditunjangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kekal mendominasi Kelantan, Terengganu serta Kedah.

Sementara, kerjasama antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memperlihatkan pengundi masih memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan.

Sepanjang kempen PRN memang terasa ‘bahangnya’, bukan sahaja dalam kalangan calon dan parti bertanding, malah tidak terkecuali melibatkan grup-grup WhatsApp.

Grup penduduk kampung misalnya, sebelum PRN hanya membincangkan atau membangkitkan isu-isu semasa di kampung seperti hal kenduri-kendara, perihal kesihatan penduduk dan aktiviti seharian, namun berubah nada apabila kompang PRN dipalu.

Ahli-ahli grup mula menyentuh isu-isu pilihan raya, antaranya menyatakan sokongan terhadap calon daripada parti-parti tertentu, yang adakala membuatkan suasana bertukar menjadi tegang.

Meskipun pada mulanya isu berkaitan politik tidak digalakkan dibincangkan dalam grup WhatsApps kampung atau taman kerana tidak dipersetujui segelintir ahli tetapi akhirnya mereka akur selepas mengambil kira untuk memberi kesedaran kepada individu mengambil tanggungjawab keluar mengundi.

Kebenaran berpolitik itu juga dihadkan sepanjang kempen PRN berlangsung. Berbicara mengenai politik, pastinya tidak dapat lari daripada bertikam lidah kerana masing-masing mahu ‘memenangkan’ calon dan parti yang disokong. Ada yang bermasam muka dan tidak kurang terasa hati.

Artikel Berkaitan:

Justeru, selepas PRN enam negeri berakhir, maka lupakanlah sengketa dan perbezaan pendapat itu. Marilah kita kembali merapatkan saf dan menjalani kehidupan seperti sediakala.

Kepada wakil rakyat yang menang, tunaikan janji kepada pengundi dan jalankan tanggungjawab membangunkan kawasan serta negeri masing-masing.

Banyak masalah rakyat yang perlu segera diselesaikan terutama melibatkan kemudahan infrastruktur, ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi. Ingatlah, rakyat sengsara dan semakin terbeban dengan peningkatan harga barang serta komitmen ansuran yang lain.

Perkara tersebut turut ditekankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Isnin. Baginda bertitah supaya semua wakil rakyat yang dipilih pada PRN untuk terus berbakti kepada rakyat.

Titah baginda, wakil rakyat juga perlu menyuarakan permasalahan dan keperluan rakyat mereka.

Fokus dan keutamaan adalah kepentingan serta perkhidmatan rakyat terutama di Negeri Sembilan serta memberi taat setia kepada rakyat, bukan untuk kepentingan mana-mana parti politik serta peribadi.

Selain itu, Tuanku Muhriz juga bertitah supaya urusan pentadbiran di jabatan serta agensi kerajaan di negeri itu bebas daripada sebarang unsur penyelewengan serta salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa semua parti yang bertanding sama ada menang atau kalah pada PRN kembali bersilaturahim, menjaga keamanan negara dan terus membela nasib rakyat.

Menurutnya, rakyat telah menyatakan pendirian mereka dan keputusan tersebut perlulah dihormati.

“Bagi pihak Kerajaan Perpaduan dan kerajaan Persekutuan, yang terus kekal serta kukuh selepas keputusan PRN ini akan terus berkhidmat.

“Kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi lebih tekun dan kuat bekerja supaya Malaysia dapat mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya pada Sabtu.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau mahu membuka lembaran baharu dalam hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Beliau berlapang dada dan telah memaafkan semua pihak yang menyerang dirinya semasa kempen PRN, selain berharap segala urusan kerajaan dilakukan mengikut prosedur, dengan tidak menjadikan keputusan PRN untuk menghukum rakyat negeri Kedah.

Jadi, kita sebagai rakyat Malaysia, marilah berdoa dan berusaha semampu boleh agar negara tercinta ini terus membangun. Semoga kita dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman harmoni.

*Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Berita Online

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!