Chong Wei kesal dakwaan Tat Meng, Zii Jia
LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kesal dengan tindakan pasukan Lee Zii Jia termasuk jurulatihnya, Wong Tat Meng yang mendakwa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuli para pemain profesional.
Chong Wei kurang senang dengan Tat Meng yang dilihat cuba memperbesarkan perkara remeh dan mahu meletakkan semua kesalahan atas badan induk tersebut.
Beliau berkata, BAM sebelum ini sudah memaklumkan kepada para pemain profesional agar memakai pakaian tanpa penaja sendiri, namun masih dibenarkan menggunakan raket, beg dan kasut daripada penaja masing-masing.
“Saya fikir permintaan BAM kepada pemain-pemain profesional adalah berpatutan kerana memiliki perjanjian dengan penaja. Mengapa kem Zii Jia menjadikan perkara ini sebagai isu sedangkan pemain-pemain lain seperti Teo Ee Yi, Ong Yew Sin dan jurulatih, Rosman Razak tidak ada masalah.
“Zii Jia nampaknya cuba menimbulkan isu yang tidak patut dan terlampau merungut. Dia sepatutnya perlu lebih matang dan tangani masalah dengan lebih bertanggungjawab,” katanya menerusi satu pada Khamis.
Tat Meng pada Rabu meluahkan rasa terkejut selepas BAM tidak membenarkan pemain-pemain profesional mengenakan pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Zii Jia turut membalas hantaran yang dibuat Tat Meng menerusi Instagram peribadinya.
“Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ tak datang training pulak. Aishhhhh... susah ni nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening’ dan menerima tanda suka para pengguna,” tulis Zii Jia.
Chong Wei mengesyorkan jika Zii Jia tidak gembira dengan peraturan yang ditetapkan itu, dia boleh memilih untuk tidak menyertai latihan di akademi tersebut.
Beliau menjelaskan, tujuan utama menjemput para pemain profesional menjalani latihan di ABM adalah sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kemampuan mereka bagi mengharungi setiap kejohanan.
“Saya beri cadangan kepada Tan Sri (Mohamad Norza Zakaria) dan menerima maklum balas positif. Tan Sri teruja dengan konsep ini kerana ia mampu beri manfaat kepada sukan itu.
“Hasilnya adalah persetujuan dicapai bersama pemain-pemain profesional dengan mereka boleh menggunakan fasiliti-fasiliti ABM dua hari seminggu. Semuanya adalah usaha untuk tingkatkan kemampuan pemain,” tambah Chong Wei.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga berharap Zii Jia menghargai setiap bantuan serta peluang yang diberikan, bukannya merungut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!