Bayern tak jadi ambil de Gea

De Gea - Foto Agensi
De Gea - Foto Agensi
A
A
A

IMPIAN penjaga gol, David de Gea untuk menyertai Bayern Munich tidak menjadi kenyataan selepas kelab tersebut membatalkan cadangan perpindahan tersebut.

Penjaga gawang Sepanyol itu ketika ini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan Manchester United pada musim panas ini.

Biarpun beraksi cemerlang pada musim lalu, de Gea melakukan beberapa kesilapan besar yang merugikan pasukan.

Kesilapan berprofil tinggi de Gea itu mengundang rasa kurang senang pengurus Erik ten Hag yang tidak bersetuju dengan kontrak baharu, membenarkannya meninggalkan kelab secara percuma selepas kontraknya berakhir.

Bayern sebelum ini dilaporkan berbincang dengan penjaga gawang berusia 32 tahun itu susulan kecederaan penjaga gol utama, Manuel Neuer.

Bagaimanapun, pengendali Bayern, Thomas Tuchel enggan menandatangani dea Gea sebaliknya lebih berminat untuk mendapatkan khidmat penjaga gol kedua Manchester City, Stefan Ortega, lapor wartawan Sky Sports, Florian Plettenberg.

“FC Bayern tidak akan mengikat David (de Gea). Ia sudah diputuskan. Thomas (Tuchel) menghalangnya, lagipun Manuel Neuer dijangka kembali dalam beberapa minggu lagi.

“Seperti dilaporkan, Tuchel mahukan Ortega dan menelefonnya tetapi rundingan sudah berakhir.

Artikel Berkaitan:

“Perbincangan dengan De Gea diadakan. Dia berminat untuk menyertai Bayern. Tetapi ia tidak menjadi kenyataan,” ujar Plettenberg.

Neuer, 37, kembali daripada kecederaan jangka panjang selepas patah kaki ketika insiden bermain ski.

Pelapisnya Sven Ulreich menjaga gawang Bayern bagi perlawanan pertama musim ini, Piala Super Jerman menentang RB Leipzig tetapi Tuchel dan anak buahnya kalah 0-3.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!