Warga emas maut dirempuh ketika lintas jalan
KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas maut dirempuh sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki di Jalan Sentul Pasar.
Dalam kejadian pada jam 11.15 pagi semalam, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha Y15 itu turut mengalami kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang maut Rohani Nawi, 68, dikatakan melintas dari arah kanan laluan berdekatan sebuah pasaraya sebelum dirempuh di lorong paling kiri.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang beralamat di Kampung Chempedak Dalam Sentul Pasar tercampak ke lorong tengah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan.
"Penunggang dan pembonceng berusia 19 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan," katanya.
Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!