Ekonomi Malaysia berkembang 2.9 peratus - DOSM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia berkembang 2.9 peratus pada suku kedua 2023, disokong oleh pasaran buruh yang bertambah baik, peningkatan berterusan dalam permintaan domestik dan kegiatan pelancongan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi sederhana pada suku itu sebahagiannya disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan susulan kitaran teknologi global, pengeluaran komoditi lebih rendah dan kesan asas lebih tinggi dari suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.9 peratus.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.6 peratus pada suku pertama 2023, menjadikan pertumbuhan purata bagi separuh pertama tahun ini pada 4.25 peratus.

Berasaskan pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi negara berkembang 1.5 peratus (suku pertama 2023: 0.9 peratus).

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia kekal di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK di antara 4.0 dengan 5.0 peratus tahun ini, dipacu pemulihan berterusan pasaran buruh, pelaksanaan projek serta peningkatan kegiatan pelancongan.

Kerangka Ekonomi MADANI akan memacu penyusunan semula menyeluruh ekonomi Malaysia, katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Inflasi

Beliau berkata inflasi keseluruhan dijangka pada purara di antara 2.8 peratus dengan 3.8 peratus pada 2023 berikutan penyederhanaan inflasi teras dan rasionalisasi subsidi secara beransur-ansur.

Artikel Berkaitan:

"Inflasi teras, walaupun turun, namun kekal tinggi berbanding purata jangka panjang (purata 2011 hingga 2019: 2.0 peratus),” katanya.

Abdul Rasheed berkata inflasi bukan teras dan inflasi teras telah menjadi sederhana, apabila makanan segar dan bahan api menyumbang kepada penurunan inflasi bukan teras, manakala penyederhanaan inflasi teras (suku kedua 2023: 3.4 peratus; suku pertama 2023: 3.9 peratus) sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih.

Ini termasuk makanan di luar rumah, perkhidmatan telefon dan telefaks serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan peribadi, katanya.

"Rebakan inflasi berkurang apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menjadi sederhana kepada 42.7 peratus pada suku kedua (suku pertama 2023: 56.0 peratus), iaitu di bawah purata jangka panjang suku kedua (2011 hingga 2019) sebanyak 43.9 peratus.

"Yang penting, rebakan inflasi menurun pada Jun selepas kenaikan sementara pada Mei berikutan musim perayaan,” katanya.

Bagi separuh kedua 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan berada dalam aliran rendah mengikut jangkaan, sebahagiannya disebabkan oleh asas yang lebih tinggi pada separuh kedua 2022.

Abdul Rasheed berkata walau bagaimanapun, risiko kepada unjuran inflasi itu bergantung kepada perubahan dasar domestik mengenai subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.

Prospek

Dalam melangkah ke hadapan, Gabenor BNM berkata pertumbuhan ekonomi akan terus didorong oleh permintaan dalam negara susulan peningkatan guna tenaga dan pendapatan serta pelaksanaan projek berbilang tahun.

Ketibaan pelancong dijangka terus meningkat, justeru akan menyokong kegiatan berkaitan pelancongan, katanya.

"Risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi semakin perlahan yang berpunca terutama daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.

"Walau bagaimanapun, terdapat faktor risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan projek yang lebih pantas,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!