Pengarah projek tak mengaku jalankan perlombongan tanpa lesen

Tze Jin (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat atas tuduhan menjalankan perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah pada Mei lalu.
Tze Jin (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat atas tuduhan menjalankan perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah pada Mei lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengarah projek sebuah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan menjalankan perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah, pada Mei lalu.

Tertuduh, Teh Tze Jin, 45, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Bapa kepada empat anak itu didakwa menjalankan perlombongan tanpa suatu lesen atau pajakan yang sah di sebuah kawasan bersebelahan tapak projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Sungai Baging, Mukim Sungai Karang, di sini jam 4.10 petang, pada 21 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Taqiuddin Azizan dan Hasmad Mahyuddin memohon agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin.

Beliau turut memohon satu tarikh baharu bagi tujuan penyediaan dokumentasi.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Rusnizam Abdullah memohon agar jumlah wang jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh telah berkahwin dan perlu menanggung isteri serta empat anak berusia antara dua hingga lapan tahun selain ia adalah kesalahan pertama.

“Tertuduh bekerja sebagai pengarah projek dengan pendapatan lebih kurang RM5,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga tarikh ini tertuduh tidak pernah disabit dengan mana-mana kesalahan jenayah dan ini merupakan kesalahan jenayah kali pertama tertuduh," katanya.

Mohd Rusnizam dalam hujah rayuan memberitahu jaminan yang dinyatakan pihak pendakwaan melampau dan tidak munasabah.

Katanya, sebagaimana prinsip jamin adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh sepanjang perjalanan perbicaraan dan tidak bersifat untuk menghukum apatah lagi memprejudiskan hak anak guamnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, pasport tertuduh perlu diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 8 September depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!