Siasat semua pesawat Beechcraft Model 390 di Malaysia - Anthony
KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkutan akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan siasatan terhadap semua pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pada masa ini pihaknya tidak mahu membuat sebarang keputusan terburu-buru mengenai penangguhan operasi model pesawat tersebut.
"Saya akan minta CAAM untuk buat siasatan terhadap model tersebut dan apa sahaja keputusan perlulah kita buat secara teliti selepas siasatan oleh pihak teknikal dan pihak berkuasa.
"Pada ketika ini belum ada apa-apa keputusan terburu-buru diambil, jadi pihak CAAM sudah tentu akan buat siasatan terperinci terhadap semua model yang sedang digunakan di Malaysia berkenaan dengan pesawat tersebut,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Yinson Holdings Bhd, RRJ Capital dan Farosson di sini pada Jumaat.
Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor mengakibatkan 10 lelaki maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Lapan yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang lalu di tempat kejadian.
Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.48 petang. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN
Nahas Elmina: Enam mayat ditemui, lima daripadanya tak sempurna
Nahas Elmina: Salah satu komponen kotak hitam ditemui - Polis
Nahas terlalu mendadak mungkin punca tiada isyarat 'mayday' - Pakar
Nahas Elmina: Perlukan masa untuk kenal pasti identiti mayat
Nahas Elmina: Enam mayat ditemui, lima daripadanya tak sempurna
Nahas Elmina: Tragedi pesawat kedua di Elmina selepas 46 tahun
Nahas Elmina: Adik sayang mama, ucapan terakhir juruterbang
'Abang saya anak peneroka, bukan anak Jamaluddin Jarjis'
Saya bukan antara mangsa nahas di Elmina, kata anak Jamaluddin Jarjis
Nahas Elmina: Syarikat pengendali pesawat berdaftar, ada lesen
Nahas Elmina: Operasi cari komponen kotak hitam FDR diteruskan
Nahas Elmina: Suami pesan kebumikan di kampung halaman
Nahas Elmina: Operasi di lokasi nahas pesawat disambung pagi ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!