Lelaki dijel 19 tahun secara salah terima pampasan AS$3 juta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

WELLINGTON- Seorang lelaki New Zealand bakal menerima pampasan hampir NZ$5 juta (AS$3 juta) selepas dipenjarakan secara salah selama 19 tahun, umum kerajaan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada 1986, Hall telah disabitkan dengan kesalahan membunuh Arthur Easton dan dengan sengaja mencederakan anaknya, Brendon Easton, lalu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Sabitannya dibatalkan pada 2022.

Kerajaan telah bersetuju untuk membayar NZ$4,933,725 sebagai pampasan bagi 19 tahun yang dihabiskannya di belakang jeriji, kata pemangku Menteri Kehakiman New Zealand Deborah Russell.

"Kerajaan mendapati Hall tidak bersalah dan memohon maaf tanpa syarat atas sabitan dan hukuman penjaranya.

"Saya mengakui bahawa permohonan maaf dan pampasan tidak dapat sepenuhnya membetulkan ketidakadilan yang telah dialami oleh Hall. Tetapi saya berharap ia sedikit sebanyak membantu Hall membina semula hidupnya dan akan membolehkannya mengejar perkara yang diingininya," kata Russell.

Keluarga Hall berkata, kenyataan yang dikeluarkan kerajaan bahawa Hall tidak bersalah adalah yang paling penting.

"Ibu Alan, Shirley, penyokong terbesarnya, telah berjuang selama beberapa dekad untuk mendengar kata-kata itu. Bahawa beliau tidak ada di sini hari ini untuk mendengar kata-kata itu dilafazkan akhirnya menjadikan detik ini pahit.

"Alan berusia 24 tahun ketika dia ditangkap. Dia kini berusia 61 tahun. Dengan pengumuman hari ini, Alan kini boleh memberi tumpuan kepada apa yang dinafikan daripadanya selama beberapa dekad, membina hidupnya sebagai seorang yang bebas," menurut kenyataan keluarga itu.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga berharap siasatan dapat diteruskan bagi menjejaki individu yang bertanggungjawab atas kematian Arthur. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!