Cake saran cari mekanisme tangani kenaikan harga ayam
ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berharap kerajaan dapat mencari mekanisme terbaik bagi menangani kenaikan harga ayam berikutan bekalan ayam berkurangan beberapa hari lepas.
Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kenaikan harga ayam berlaku beberapa hari lepas, selain itu harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam standard di pasaran juga dirasakan masih tinggi.
Menurutnya, harga ayam termasuk organ dalaman yang dijual di pasaran kini mampu mencecah RM18 hingga RM25 seekor.
"Kita harap ada mekanisme-mekanisme tertentu untuk menurunkan harga ayam ini. Jika kita tengok apabila berlakunya lambakan pasaran ayam di pasaran, maka ia akan menurunkan harga pasaran.
"Jadi, kita harap supaya Dasar Agro Makanan negara yang mempunyai dasar-dasarnya dan target pada 2025 (mengeluarkan) 100 peratus hingga 140 pengeluaran ayam. Maka ia perlu dilihat balik dan dilakukan langkah segera," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga ayam di beberapa negeri berikutan peniaga mendapat harga yang tinggi daripada pembekal bahan mentah itu.
Mohamad Yusrizal berkata, lebih banyak pengusaha-pengusaha ayam perlu diwujudkan demi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam, sekali gus membolehkan industri ini untuk berkembang.
"Kita janganlah mengharapkan industri sedia ada dan mengurangkan kebergantungan input ternakan ayam seperti jagung dan sebagainya dari pasaran luar,"katanya.
Tambahnya, tindakan perlu diambil demi membantu pengguna mendapatkan barangan mentah diperlukan mereka dengan harga berpatutan.
"Harga barang naik atau turun harga, pengguna terpaksa beli. Jadi, kita harap supaya lakukan lah langkah-langkah itu segera dalam Kerajaan Madani ini yang ingin membangun ekonomi.
"Inilah cara-cara membangunkan ekonomi, (yang mana) selain bangunkan industri tersebut, (maka) kos harga barangan akan menjadi rendah," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Yusrizal berkata, setakat ini, Cake tidak menerima sebarang rungutan daripada pengguna dan juga pengusaha makanan.
"Hal disebabkan harga ayam ini dirasakan masih di bawah harga siling. Jadi tidak ramailah yang merungut. Masa (musim perayaan) turun hari itu pun mungkin tidak dirasai kebanyakan orang disebabkan pada musim tersebut permintaan ayam adalah rendah," katanya.
Dalam pada itu, beliau mendapati permintaan pengguna untuk mendapatkan bekalan ayam ketika ini tinggi semula, namun pengeluaran ayam pula rendah.
"Jadi, (pengeluaran ayam kurang) inilah faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan dan penurunan harga ayam ini. Kita tidak menerima aduan disebabkan ayam-ayam masih berada di bawah harga siling,"katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan punca harga ayam di pasaran terpaksa dinaikkan kembali antara RM9 hingga 9.28 disebabkan bekalan ayam berkurangan beberapa hari lalu.
Pembekal dan peladang ayam, Mazlina Kamarudin berkata, harga ayam terpaksa dinaikkan untuk menampung kos operasi selain mengelakkan kerugian kepada penternak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!