Kerangka ekonomi Madani jadi asas pacu ekonomi Malaysia - BNM
KUALA LUMPUR - Kerangka Ekonomi MADANI menjadi asas bagi penyusunan semula ekonomi Malaysia secara menyeluruh, disokong oleh beberapa transformasi penting seperti mempunyai sektor perindustrian yang digiatkan semula, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, berdasarkan kerangka itu, sektor perindustrian akan disokong oleh pelaburan berkualiti.
"Visi ekonomi Malaysia juga termasuk mewujudkan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi, meletakkan negara kita sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global, di samping menjadi ekonomi yang berdaya tahan iklim dan lebih lestari.
"Selain itu, berlandaskan kerangka itu juga tadbir urus fiskal dan ketelusan akan dipertingkatkan, yang akan melonjakkan keyakinan pelabur dan juga agensi penarafan kredit,” katanya semasa sidang media bersama BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 Malaysia di sini, pada Jumaat.
Ekonomi Malaysia berkembang 2.9 peratus pada suku kedua 2023, disokong oleh pasaran buruh yang semakin baik dan peningkatan berterusan permintaan domestik dan kegiataan pelancongan.
Abdul Rasheed berkata, antara inisiatif utama yang akan menjadi penting dalam memacu visi ekonomi Malaysia adalah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal.
Dalam jangka masa pendek, Malaysia boleh menjangkakan untuk menyaksikan sokongan positif terhadap pertumbuhan daripada pelaksanaan beberapa projek pemangkin penting di bawah NETR, katanya.
"Pelaksanaan projek pemangkin seperti yang diumumkan di bawah NETR Fasa Satu yang diumumkan baru-baru ini juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan dalam jangka masa sederhana.
"Malah, beberapa projek ini sudahpun dilaksanakan, dan lebih banyak akan mula dijalankan tahun depan,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan juga akan terus disokong oleh aktiviti pelaburan.
Pembiayaan untuk perbelanjaan modal masih tersedia, begitu juga dengan hasrat pelaburan manakala pelaburan yang baharu diluluskan berjumlah RM71.4 bilion pada suku pertama 2023, katanya.
"Melangkah maju, ekonomi ini akan mendapat manfaat daripada realisasi pelaburan baharu dan projek sedia ada, terutama projek infrastruktur besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek pendigitalan.
"Kemajuan pelaburan ini penting bukan sahaja untuk menyokong pertumbuhan segera malah juga meningkatkan potensi pertumbuhan masa depan Malaysia,” katanya.
Gabenor BNM berkata perbelanjaan isi rumah akan kekal sebagai tunjang pertumbuhan disokong oleh pertumbuhan pekerjaan yang berterusan, penampan kewangan isi rumah yang positif, langkah-langkah dasar kerajaan dan keredaan tekanan harga.
"Perbelanjaan isi rumah terus meningkat, disokong oleh pertumbuhan gaji dan penampan kewangan yang mencukupi. Data frekuensi tinggi seperti perbelanjaan kad kredit dan jualan kenderaan penumpang terus mencatatkan rekod melebihi angka sebelum pandemik.
"Pada separuh kedua 2023, isi rumah akan kekal disokong oleh langkah yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, iaitu e-Tunai RM100 untuk kalangan individu B40 dan M40 serta bantuan khas RM300 dan RM200 untuk penjawat awam dan pesara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!