Paling awal bedah siasat selesai pada Isnin - Razarudin
KLANG - Proses bedah siasat mangsa pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor dijangka siap paling awal pada Isnin ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, meskipun perkara itu nampak mudah, namun ia bukan satu tugas yang boleh diselesaikan segera kerana terlalu banyak cebisan dijumpai di lokasi kejadian.
Beliau berkata, dianggarkan lebih 200 cebisan daging dan anggota tubuh badan diketemukan.
Selain itu kata beliau, sebanyak 22 sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) waris telah diambil oleh Jabatan Kimia bagi proses padanan dengan kesemua mangsa.
"Terdapat kira-kira 200 cebisan daging selain beberapa anggota badan seperti kepala, paha dan kaki perlu menjalani proses padanan DNA dengan waris, maka ia mengambil sedikit masa.
"Jabatan Kimia memaklumkan (padanan DNA) paling awal boleh disiapkan adalah pada Isnin.
"Setelah selesai, barulah waris boleh menuntut dan mengambil jenazah setelah dihubungi oleh pihak polis atau hospital," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa bersama kumpulan waris yang masih berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), dekat sini.
Hadir sama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, ekoran tempoh masa menuntut jenazah masih ada lagi beberapa hari, waris yang berada di HTAR dinasihatkan untuk pulang ke rumah atau destinasi penginapan masing-masing.
Jelasnya, tahap kesihatan dan keselesaan perlu diutamakan oleh semua waris agar tidak berhadapan dengan kemudaratan.
Menurutnya, waris perlu bertenang di tempat yang lebih selesa, berbanding hanya menunggu di pekarangan unit forensik di HTAR.
"Sini panas dan hujan, saya risau dan takut ada yang akan jatuh sakit nanti.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah mengambil kesemua nombor telefon 22 waris untuk dihubungi sekiranya proses di unit forensik selesai," ujarnya.
Selain itu Razarudin berkata, semua urusan pengurusan jenazah akan diurus dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Selangor.
Tambahnya, daripada aspek kebajikan, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyediakan 10 buah van jenazah.
Malah menurutnya, PDRM juga akan menyediakan kemudahan bantuan iringan daripada unit trafik bagi mengiringi jenazah ke temat pengebumian.
"Bantuan trafik ini disediakan bagi memudahkan kelancaran perjalanan dari satu negeri ke satu negeri termasuk perjalanan ke Kedah dan Pahang.
"JAIS juga akan membantu dari segi proses memandikan dan solat jenazah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!