Nahas Elmina: Siasatan pesawat terhempas dijangka ambil masa seminggu
KUALA LUMPUR - Tempoh siasatan bagi pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie (GCE) berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam dijangka mengambil selama seminggu jika tiada kerosakan dalaman pada kotak hitam pesawat itu, kata seorang pakar industri penerbangan.
Bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, peluang kerosakan terhadap kotak hitam pesawat adalah tipis kerana kotak tersebut dibuat khusus untuk menahan panas, api dan air.
"Ketika saya aktif dalam siasatan perakaman CVR (rakaman suara kokpit) tragedi MH17 yang mana pesawat tersebut jatuh 33,000 kaki dari paras bumi, jatuh terjunam... kami masih boleh muat turun CVR tersebut, ia sangat jelas," katanya ketika ditemu bual pada program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio pada Jumaat.
Azharuddin, yang kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah MYAirline, menjelaskan kotak hitam yang mempunyai rakaman suara kokpit dibalut dengan pelbagai jenis bahan agar luaran kotak itu mampu menahan impak kemalangan serta mampu melindungi cip yang berada di dalamnya.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu berkata, rakaman suara kokpit amat berguna kepada penyiasat untuk membuat analisis yang tepat berdasarkan rakaman tersebut selain menggunakan rakaman 'dashcam' (kamera papan pemuka) yang diserahkan kepada mereka.
"Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan dua minit sebelum pendaratan dikatakan pusat kawasan udara kehilangan perhubungan dengan juruterbang dan mereka mendapati kepulan asap (dari lokasi kejadian) serta bila dipanggil, tiada yang menjawab dari pesawat.
"Dalam beberapa rakaman 'dash cam' menampakkan pesawat tersebut terjunam ke arah bumi dan ini memeningkan siasatan, jadi kita perlu melihat segala bukti yang didapati di tempat kejadian itu," katanya.
Semalam, tragedi pesawat terhempas itu meragut 10 nyawa yang melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.
Ketika kejadian, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN
Nahas Elmina: Enam mayat ditemui, lima daripadanya tak sempurna
Nahas Elmina: Salah satu komponen kotak hitam ditemui - Polis
Nahas terlalu mendadak mungkin punca tiada isyarat 'mayday' - Pakar
Nahas Elmina: Perlukan masa untuk kenal pasti identiti mayat
Nahas Elmina: Enam mayat ditemui, lima daripadanya tak sempurna
Nahas Elmina: Tragedi pesawat kedua di Elmina selepas 46 tahun
Nahas Elmina: Adik sayang mama, ucapan terakhir juruterbang
'Abang saya anak peneroka, bukan anak Jamaluddin Jarjis'
Saya bukan antara mangsa nahas di Elmina, kata anak Jamaluddin Jarjis
Nahas Elmina: Syarikat pengendali pesawat berdaftar, ada lesen
Nahas Elmina: Operasi cari komponen kotak hitam FDR diteruskan
Nahas Elmina: Suami pesan kebumikan di kampung halaman
Nahas Elmina: Operasi di lokasi nahas pesawat disambung pagi ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!